Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pasir Mas Datuk Dr Wan Mansor Hamzah (tengah) bersama warga emas mengibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos depan yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ di PAWE Pasir Mas hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Depani negara menua, lebih banyak pusat aktiviti warga emas ditubuh

IPOH, 1 OKT: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk menubuhkan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara berdasarkan kepada populasi warga emas di suatu kawasan, sebagai usaha mendepani cabaran Negara Menua 2030.

Timbalan Menterinya Aiman Athirah Sabu berkata dengan pertambahan PAWE, golongan warga emas dapat terus menjalankan aktiviti dalam komuniti sekali gus melahirkan warga emas yang sihat, aktif, produktif dan positif.

“Secara tidak langsung penubuhan lebih banyak PAWE ini dapat mengurangkan kemasukan dan kebergantungan warga emas kepada institusi kebajikan,” katanya berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di sini hari ini.

Sambutan bertemakan ‘Memartabatkan Hak Warga Emas: Merentas Generasi’ itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi PerakSalbiah Mohamed.

Aiman Athirah berkata KPWKM juga sedang berusaha memperluaskan kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada warga emas.

Beliau berkata tanggungjawab sosial korporat merupakan satu daripada kerjasama KPWKM dengan rakan strategik seperti agensi kerajaan, sektor korporat, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu dalam memelihara kebajikan kumpulan sasar selaras dengan konsep ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama’.

Menurutnya hala tuju baharu perkhidmatan warga emas yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 seperti pewujudan Pangkalan Data Berpusat Warga Emas (eWE) dan pemerkasaan PAWE, diharap dapat memberi impak nyata terhadap kesejahteraan warga emas di negara ini.

Pada masa sama, katanya Pelan Tindakan Warga Emas perlu dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan kesinambungan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang mampan.

“Ia merupakan komitmen kerajaan ke arah mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati serta mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong peningkatan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil syarikat pembinaan selepas merasmikan majlis pecah tanah bagi projek pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) MPS di Taman Sri Gombak, Gombak pada 4 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, penerima Anugerah Sukarelawan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cemerlang, Yong Soo Len, 72 , berkata beliau aktif dalam aktiviti kesukarelawanan sejak 30 tahun lepas.

Soo Len yang berasal dari Sungai Tinggi, Selangor merupakan pesara guru yang masih bergiat aktif sebagai sukarelawan khidmat bantu di rumah dan Pegawai Penilai dan Verifikasi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Kerja Sosial.

Ibu kepada tiga anak yang kesemuanya bekerja di Singapura itu, merupakan Ahli Jawatankuasa PAWE Labis dan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teratak Sayangku, Chaah di Segamat, Johor.

Beliau menerima wang tunai berjumlah RM1,000, trofi serta sijil penghargaan.

Tokoh korporat dari Pulau Pinang, Tan Sri Dr Mohd Yussof Latiff menerima Anugerah Khas Warga Emas dengan membawa pulang wang tunai RM3,000 serta trofi dan sijil penghargaan.

PAWE Rembau, Negeri Sembilan pula menerima Anugerah Pusat Aktiviti Warga Emas Cemerlang sekali gus meraih wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

-BERNAMA


Pengarang :