Bekas pesakit kanser payudara tahap dua, Norhamiza Md Akhir, 39, mengisi aktiviti masa lapang di rumahnya di Subang Bestari pada 2 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Ibu empat anak cekal lawan barah, kuat semangat jalani rawatan

Tanggal 21 Julai 2020 tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Itulah hari doktor mengesahkan Norhamiza Md Akhir menghidap barah payudara.

Hati wanita berusia 39 tahun itu luluh. Hampir dua hari ibu anak empat itu berendam air mata. Tidak terfikir dia mendapat barah paling kerap dihidapi perempuan.

Sehingga Februari 2023, Kementerian Kesihatan melaporkan barah payudara paling kerap didiagnosis dalam kalangan wanita Malaysia iaitu 33.9 peratus. Diikuti barah usus 10.7 peratus dan barah rahim 6.2 peratus.

Norhamiza kehilangan ibu akibat barah hati 16 tahun lalu. Kakaknya pula meninggal akibat barah perut ketika berusia 12 tahun.


Bekas pesakit kanser payudara tahap dua, Norhamiza Md Akhir, 39, ketika diwawancara di rumahnya di Subang Bestari pada 2 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bimbang terkena penyakit sama, anak kelahiran Kedah itu menjaga pemakanan sejak umur 20 tahun.

“Daging merah tak makan. Sentiasa bersenam. Memang fanatik bab kesihatan. Begitu juga dengan ubat-ubatan dan makanan tambahan (suplemen).

“Macam-macam makanan tambahan saya makan. Tapi sudah takdir, saya disahkan hidap barah payudara tahap dua,” katanya yang berkongsi pengalaman sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara.

Ketulan di ketiak

Pada 2020, dua bulan sebelum Aidilfitri, tahap kesihatan Norhamiza berubah. Kerap sakit-sakit dan mudah marah. Waktu itulah ketulan di bahagian ketiak mula disedarinya.

“Ketulan di ketiak tidak sakit. Tapi badan sakit. Dua bulan saya abaikan. Sebab sibuk hendak raya. Saya kata tak apalah. Tapi dalam tempoh saya biarkan itu, rupanya benjolan mula ada pada buah dada.

“Rasa mula tidak sedap hati dan saya ke pusat rawatan swasta di Subang. Waktu itulah disahkan barah payudara. Terkedu. Air mata mengalir tak berhenti,” katanya.

Suaminya Mohd Farid Abdul Shaamat, 49, berkali-kali memujuk supaya dia menjalani pembedahan walau doktor memintanya berfikir dahulu.

“Bila sudah ‘operate’ (dibedah), ada tiga ketulan dalam buah dada. Bukannya seketul. Dalam dua bulan sudah ada tiga. Bayangkan jika dibiar,” ceritanya ketika ditemui Selangorkini pada 2 Oktober.

Kekuatan mental antara ujian berat ditempuh sepanjang menerima rawatan. Dia dijemput masuk ke pelbagai kumpulan WhatsApp. Begitu juga di Facebook, banyak artikel mengenai barah dikongsi kepadanya.

“Saya abaikan. Bukan sombong, tapi lebih banyak perkara negatif. Pengalaman saya, ada cadang macam-macam rawatan. Kata rawatan hospital tak patutlah. Cuba lain sikit dan macam-macam. Itu mengganggu emosi.

“Akhirnya semua ‘group’ yang negatif saya ‘left’ (tinggalkan). Jika kita hadapi apa-apa penyakit, paling penting kekuatan mental. Jika kita tak kuat, dan orang sekeliling kuat, tiada guna,” tambah bekas perunding insurans itu.

Setahun lebih rawatan kimoterapi dan radioterapi dilalui Norhamiza. Habis segala rambut, bulu kening gugur. Badannya lebam-lebam. Sebelah dadanya ibarat melecur. Semua dilalui penuh sabar.

Dalam keadaan lemah tidak berdaya. Anak-anak menjadi penguat semangat. Anak lelaki sulungnya berusia 14 tahun ketika itu dan anak perempuannya berumur 12 tahun memasak untuknya.

Susulan rawatan, Norhamiza semakin sihat namun perlu menanti lima tahun bagi membolehkan dirinya diisytihar bebas barah.

Norhamiza tidak pernah lokek berkongsi pengalaman melawan barah dengan masyarakat. Beberapa kali juga dijemput memberi syarahan kepada orang ramai.

“Kita jangan ingat penyakit ini sebab keturunan sahaja. Sesiapa pun boleh hidap barah ini. Oleh itu, sentiasa buat pemeriksaan kesihatan tahunan. Jika rasa ada tanda-tanda, jumpa doktor segera,” katanya.


Pengarang :