EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail (depan, kanan) menyertai ziarah kasih pada program Rumpun Selangor D’Desa daerah Kuala Selangor pada 21 Oktober 2023. Foto Facebook Rizam Ismail
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Gagasan Rumpun Selangor kukuh semangat perpaduan, lancar tahun depan

SHAH ALAM, 24 OKT: Gagasan Rumpun Selangor untuk memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini akan dilancarkan secara rasmi awal tahun depan.

EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata pelaksanaan meliputi enam agenda utama iaitu karnival, dasar dan lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

Beliau menjelaskan penjenamaan institusi pendidikan kanak-kanak khususnya Tabika Perpaduan dan Tadika Kemas turut terangkum selain program promosi dan advokasi rakyat.

“Kerajaan Negeri akan memohon perkenan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor untuk turut berkenan berangkat ke karnival dan menyertai jelajah kampung yang bakal diadakan,” katanya menambah program akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Antara pengisian program Rumpun Selangor D’Desa daerah Kuala Selangor pada 21 Oktober 2023. Foto Facebook Rizam Ismail

Dalam pada itu, beliau berkata Rumpun Selangor dipilih berikutan keunikan dimiliki negeri tersebut yang menjadi hos kepada kepelbagaian etnik selain tumpuan untuk bekerja.

Sementara itu, Rizam memaklumkan program Kita Rewang Sekampung yang diadakan sejak awal tahun ini dijenamakan semula sebagai program Rumpun Selangor D’Desa.

Katanya, program rintis kepada Karnival Perpaduan Rumpun Selangor dianjurkan Sabtu lalu di Kuala Selangor dan akan diteruskan ke Petaling, Sepang, Hulu Langat dan Hulu Selangor.

“Pelbagai pengisian disediakan termasuk ziarah kasih dan aktiviti sukan rakyat seperti tarik tali, wau Selangor dan kabbadi,” katanya lagi.

 


Pengarang :