Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Segerakan kerjasama, jayakan projek negeri berdampak besar

SHAH ALAM, 25 OKT: Beberapa projek negeri terutama Rancangan Selangor Pertama (RS-1) boleh disegerakan bersama kerajaan persekutuan berikutan memberi dampak besar kepada ekonomi.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan projek meliputi Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan (IDRISS), Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Mengulas projek di kawasan selatan, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelabuhan ketiga akan dibangunkan di Pulau Carey, malah perkara itu turut diumumkan dalam belanjawan persekutuan 2024.

Menurutnya, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut berbincang dengan Sime Darby untuk meneroka antara 10,000 ke 13,000 ekar tanah di kawasan itu bagi membangunkan hab logistik.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan ikan air tawar sempena lawatan ke projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) di Taman Awam Pangkalan Batu, Klang pada 23 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“SMG berkeluasan 88,000 ekar menjadikan Sungai Klang landasan pembangunan baharu. Beberapa kawasan dapat dibangunkan dengan lingakaran LRT (transit aliran ringan) dan MRT (transit aliran massa).

“Kita sudah kenal pasti beberapa projek dan rakan kerjasama untuk SABDA terutama pendaratan ikan di Sungai Lang, Sekinchan dan sektor pelancongan selain membangunakan taman pertanian,” katanya.

Beliau berucap pada sesi libat urus bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Kuala Lumpur hari ini, yang turut dihadiri Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan pentadbiran negeri turut membina Taman Aero Antarabangsa Selangor di Sepang berkeluasan 2,000 ekar sebagai salah satu cabang zon ekonomi.

Terdahulu, beliau berkata sesi dialog berkenaan dapat merangka Belanjawan Selangor 2024 yang lebih kukuh, selain menyelaras hala tuju pentadbiran negeri seiring persekutuan.

 


Pengarang :