Doktor perubatan Hospital Besar Pulau Pinang, Dr Julian Lee yang gemar bermain biola. Foto BERNAMA
PERSONALITIRENCANA

Doktor perubatan tambat hati pendengar dengan gesekan biola

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Merdu bunyi gesekan biola itu pastinya menambat hati mereka yang mendengarnya dan mungkin tidak ramai yang tahu pemain alat muzik itu juga adalah seorang doktor perubatan.

Dr Julian Lee berkongsi dengan penulis ketika dihubungi baru-baru ini, memang sukar untuk mengimbangkan dua pekerjaan iaitu sebagai pemain biola dan sebagai pegawai perubatan, namun mungkin itu juga satu kelebihan berbanding artis lain.

Berusia 29 tahun dan berasal dari Gelugor, Pulau Pinang, di sebalik kesukaran itu, beliau berpuas hati dengan apa yang dilakukannya setakat ini kerana perkara paling penting, beliau dapat menggembirakan hati mereka yang melihat persembahan dan menerima perkhidmatannya.

“Memang benar bukan mudah untuk melaksanakan tugas tetap saya sebagai doktor di Hospital Besar Pulau Pinang dan dalam masa yang sama menerima banyak undangan untuk membuat persembahan biola di seluruh negara.

“Namun saya percaya jika kita dapat mengatur jadual kerja dengan baik, tidak ada yang mustahil, ” beliau memberitahu Bernama.

Bersedia setiap masa

Bagi memudahkan untuk beliau merancang masa luangnya, Dr Julian menjelaskan, beliau mengurus jadual hariannya dengan merekod jumlah undangan untuk persembahan biola yang diterima setiap bulan.

Beliau juga berasa amat beruntung kerana mempunyai rakan sekerja di hospital yang memahami keperluan beliau membuat persediaan untuk sebarang persembahan yang diterima.

“Semua rakan saya banyak membantu dan menyokong saya, dan sekiranya saya ada persembahan pada hari itu, ada yang akan bersedia untuk bekerja lebih masa bagi menggantikan masa syif saya. Sesungguhnya saya tidak akan berjaya tanpa mereka.

“Sebagai persediaan sebelum membuat persembahan, biasanya saya akan berbincang dengan pelanggan berhubung jenis lagu yang mereka suka. Berikutnya saya berlatih setiap malam selepas syif kerja dan menghasilkan gubahan muzikal untuk memberikan variasi unik kepada lagu-lagu yang dipilih,” katanya menambah, beliau sendiri melakukan setiap gubahan lagu.

Beliau turut menjelaskan sekiranya lagu yang dipilih adalah lagu pop baharu, beliau perlu belajar serta menghafal melodi lagu berkenaan.

Dr Julian juga gemar mempersembahkan lagu klasik popular, sebagai contoh, Can’t Take My Eyes Off You oleh Frankie Vallie dan Getaran Jiwa oleh Seniman Agung Tan Sri P Ramlee.

Pelbagai penghargaan

Dr Julian mula bergiat bermain biola ketika berusia lima tahun dan memenangi banyak hadiah serta penghargaan daripada pelbagai organisasi. Namun begitu, beliau masih bersikap merendah diri dan menyatakan, muzik baginya adalah untuk dinikmati semua orang, dan bukan hanya dirinya sendiri.

Sebagai contoh, beliau memenangi hadiah pertama dalam pertandingan biola di Pesta Muzik Kota Kinabalu pada tahun 2010 dan memenangi hadiah pertama di Pesta Muzik Belia Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2013.

“Selain daripada itu, saya juga dianugerahkan Society for Education & Research Development (SERD) India Excellence Awards pada tahun 2016 sebagai sumbangan cemerlang saya dalam bidang muzik instrumental. Sebagai tambahan, saya juga menerima McMillan Rising Star Awards di bawah kategori Most Promising Violinist of The Year 2017. Majlis ini anjuran McMillan Woods Global Awards dan diadakan di Kuala Lumpur. Saya adalah antara beberapa orang rakyat Malaysia yang pernah menerima anugerah ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, Dr Julian juga pernah berpeluang membuat persembahan di hadapan negarawan negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, juga di hadapan kerabat diraja Pahang dan Perak.

Bakat hebatnya bermain biola turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, apabila diundang membuat persembahan di Singapura dan Bali, Indonesia untuk majlis makan malam Citigold Private Client 2022 dan majlis makan malam Nokia APJ Sales Conference Awards 2023.

Kesemua pencapaian cemerlang yang diraih ini adalah juga kerana sokongan padu ibunya Liow Yuh Lan, seoorang pendidik yang sentiasa berada di sisinya dalam apa juga keadaan.

Beliau juga tidak lupa menyatakan penghargaan kepada guru biolanya, Brian Tan Wee Thean yang banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar. Beliau meninggal dunia pada tahun 2011 kerana kanser pankreas.

Terapi muzik

Menurut Dr Julian, muzik boleh digunakan sebagai terapi, yang apabila dilakukan, mungkin boleh mengubah emosi serta mengubati jiwa dan mungkin memberi manfaat kepada sektor perubatan negara.

“Saya masih ingat sewaktu kunjungan saya ke Austria ketika saya pelajar perubatan di Universiti Malaya. Kami melawat beberapa buah institusi psikiatri dan terapi muzik digunakan. Kami juga melihat sendiri bagaimana pihak hospital merawat pesakit menggunakan strategi ini. Pesakit kelihatan lebih gembira dan sihat.

“Saya dapat lihat terapi seumpama itu jarang digunakan dan alangkah bagus jika ia dapat diamalkan di negara ini. Bagi saya, terapi muzik boleh dilihat sebagai pilihan terbaik bagi meningkatkan lagi sistem rawatan pesakit dan kitab oleh mulakannya dengan hospital kerajaan menerusi terapi kerja,” katanya, sambil menambah, Malaysia boleh mengambil contoh dari sektor perubatan Eropah bagi meningkatkan sistem penjagaan kesihatan domestik.

-BERNAMA


Pengarang :