Gambar hiasan penjara. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lelaki edar dadah dihukum penjara seumur hidup, 15 sebatan

SHAH ALAM, 18 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 15 sebatan terhadap seorang lelaki warga tempatan setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis ganja tiga tahun lepas.

Hakim Dr Suzana Muhamad Said memerintahkan hukuman terhadap Muhammad Irsyad Adzha, 33, bermula hari ini.

“Hukuman penjara seumur hidup dengan sebatan 15 kali,” kata hakim selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis kanabis (ganja) seberat 495.20 gram di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bangi, Hulu Langat pada 6 petang, 11 Feb 2020.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Datuk Naran Singh merayu agar anak guamnya itu tidak dikenakan hukuman gantung mati dan mengharapkan mahkamah memberi peluang kerana tertuduh yang masih muda dan mempunyai seorang isteri serta anak yang masih kecil.

“Walaupun mahkamah boleh mengguna pakai budi bicara untuk menjatuhi hukuman, namun ia harus melihat pada fakta kes. Rujuk pada jenis dadah, mahupun berat bahan itu, lagi pun ini merupakan kesalahan pertamanya, tidak munasabah jika dikenakan hukuman gantung,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail membantah permohonan berkenaan dengan alasan hukuman berat akan memberi mesej kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.

“Walaupun ada pindaan hukuman, namun pendakwaan berpendirian supaya dia dikenakan hukuman gantung sampai mati. Mahkamah tidak perlu bersimpati dengan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan dan tidak bertolak ansur dengan penjenayah seperti ini,” katanya.

Pada April lepas, Parlimen meluluskan pemansuhan hukuman mati mandatori dan pindaan bagi menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat dengan pemenjaraan selama 30 hingga 40 tahun antaranya bagi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA


Pengarang :