Keadaan rumah yang terbakar dipercayai disebabkan kebocoran gas di Pangsapuri Desa Tun Razak pada 5 Oktober 2023. Foto Facebook Bomba Kuala Lumpur
AGENDAJENAYAH

Lelaki melecur, 12 motosikal rosak dihempap runtuhan dinding

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Lelaki berusia 32 tahun melecur, manakala 12 motosikal rosak dalam kebakaran sebuah rumah di Pangsapuri Desa Tun Razak, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.59 malam.

“Seramai 16 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi serta BBP Bandar Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kebakaran di sebuah rumah tingkat 10 Blok 4 dipercayai berpunca kebocoran gas menyebabkan berlaku letupan yang turut membabitkan dua rumah berhampiran,” katanya dalam kenyataan.


Keadaan motosikal yang rosak selepas dihempap runtuhan dinding dalam kebakaran sebuah rumah di Pangsapuri Desa Tun Razak pada 5 Oktober 2023. Foto Facebook Bomba Kuala Lumpur

Katanya, terdapat seorang mangsa iaitu lelaki berusia 32 tahun melecur kira-kira 30 peratus, lapor Harian Metro.

“Mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Canselor Tuanku Muhriz dan dilaporkan berada di zon merah jabatan kecemasan hospital berkenaan.

“Terdapat 12 motosikal rosak akibat kebakaran itu kerana dihempap dinding dari bahagian dapur rumah berkenaan yang meletup runtuh sebelum jatuh dan mengenai motosikal di kawasan terbabit,” katanya dan menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.


Pengarang :