Ribuan peserta hadir dalam himpunan solidariti sebagai tanda sokongan ke atas Palestin dan mengecam tindakan kejam rejim zionis di Dataran Merdeka pada 22 Oktober 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mahasiswa UPM warga Palestin terharu atas sokongan berterusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Warga Palestin yang menuntut di Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana sentiasa memperjuangkan kepentingan Palestin.

Said Aljamala, 28, calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan struktur di Universiti Putra Malaysia (UPM) percaya sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia perlu dijadikan suri teladan kepada negara Islam lain, khususnya di Semenanjung Arab.

“Saya dimaklumkan bahawa Himpunan Malaysia bersama Palestin akan diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. Walaupun saya tidak dapat menghadiri perhimpunan itu kerana ada urusan berkaitan pengajian, saya difahamkan rakan senegara saya juga akan menyertai acara itu. Inisiatif sebegini amat menyentuh hati kami, rakyat Palestin.

“Kita mesti faham bahawa pertempuran di negara Palestin ialah perjuangan yang dikongsi bersama oleh semua umat Islam, dan Malaysia telah menunjukkan dedikasi yang tegas terhadapnya. Saya berharap dengan mengadakan perhimpunan solidariti seperti ini, kita akan dapat tunjukkan kepada dunia bahawa umat Islam ialah komuniti bersatu padu yang sentiasa peka dengan situasi yang menimpa saudaranya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Penduduk Palestin mencari mangsa di bawah runtuhan susulan serangan zionis di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 13 Oktober 2023. Foto REUTERS

Said berkata pengeboman oleh tentera Israel baru-baru ini telah memusnahkan rumah keluarganya di Al-Sabra yang terletak di selatan bandar Gaza, bagaimanapun kesemua tujuh ahli keluarganya dapat melarikan diri sebelum letupan itu berlaku.

Said berkata beliau telah melakukan banyak percubaan untuk menghubungi keluarganya bagi mengetahui perkembangan terkini keadaan di Gaza, namun usahanya sering kali gagal kerana ketiadaan elektrik dan liputan Internet di kawasan itu.

“Walaupun sukar untuk menghubungi mereka, saya sentiasa mendoakan agar mereka tabah dan selamat di sana. Saya berharap semua rakyat Malaysia akan sentiasa bersyukur dengan kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi,” katanya.

Sementara itu, pelajar ijazah kedoktoran daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM yang mahu dikenali sebagai Zidan, 29, berkata beliau terhutang budi selama-lamanya dengan solidariti daripada rakyat Malaysia untuk Palestin, tanpa mengira agama dan bangsa.

“Sebelum ini, saya pernah menyertai perhimpunan mengecam kekejaman rejim tentera Israel di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di sini. Saya perhatikan ketika itu selain umat Islam, yang bukan Islam seperti orang Cina dan India turut serta dalam perhimpunan itu.

“Keadaan ini menggambarkan cara perjuangan hak asasi manusia yang merangkumi seluruh dunia dengan melibatkan semua orang. Walaupun pada masa ini saya agak bimbang dengan keselamatan keluarga di Gaza, perasaan itu agak berkurangan jika semua rakyat Malaysia memberikan sedikit sokongan,” katanya.

Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS

Zidan berkata sehingga kini beliau tidak dapat menghubungi keluarganya di utara bandar Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadiri Himpunan Malaysia bersama Palestin yang akan berlangsung malam ini, bersama-sama puluhan ribu peserta.

Program yang dikelolakan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Global Peace Malaysia (GPM) diadakan bukan hanya untuk mempamerkan sokongan jitu rakyat Malaysia kepada penduduk Palestin, tetapi juga mendidik orang ramai berhubung sejarah dan perkembangan konflik yang melanda negara Timur Tengah itu.

– BERNAMA


Pengarang :