Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman melancarkan Shah Alam E-Loyalty pada program Hari Mesra Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-23 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di I-City Central, Shah Alam pada 24 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA lancar aplikasi tebus mata ganjaran, hargai masyarakat

SHAH ALAM, 24 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama di negara ini yang melancarkan program tebus mata ganjaran bersama masyarakat.

Timbalan Datuk Bandar Ir Cheremi Tarman berkata sistem E-Loyalty menerusi aplikasi MyMBSA itu menawarkan cenderamata istimewa yang boleh ditebus berdasarkan jumlah mata terkumpul.

“Program ini merupakan inisiatif kami untuk menghargai masyarakat yang sentiasa hadir ke program-program anjuran MBSA serta menggunakan perkhidmatan kami.

“Mata ganjaran akan diberikan kepada orang ramai berdasarkan jenis majlis yang dihadiri. Manakala ganjaran bagi pembayaran cukai, permit atau bil-bil lain adalah RM1 untuk satu mata,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Mesra MBSA sempena sambutan ulang tahun ketiga bandar raya itu di pusat beli-belah Central i-City di sini, hari ini.

Menurut Cheremi aplikasi MyMBSA boleh dimuat turun melalui Apple Store serta Google Play Store, dan 50 mata ganjaran akan diberikan secara automatik selepas pendaftaran.


Pengarang :