Tiga pengunjung bergambar berhampiran Menara Berkembar Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 1 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia duduki tangga kedua negara paling berinovatif

SHAH ALAM, 24 OKT: Malaysia berada di kedudukan kedua paling berinovatif dalam kalangan 36 negara Kumpulan Berpendapatan Sederhana Atasan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata Malaysia turut kekal berada di tangga kedua selepas Singapura dalam kalangan negara Asean.

“Mengikut laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2023, Malaysia mencatatkan peningkatan skor kepada 40.9 tahun ini berbanding 38.7 pada 2022.

“Peningkatan skor didorong pelbagai inisiatif antaranya penubuhan Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing GII sejak 2021 membabitkan semua kementerian dan agensi kerajaan persekutuan.

“Bengkel Penyelarasan Input Inisiatif Global Innovation Index sudah diadakan pada September lalu membabitkan semua kementerian dengan objektif mengumpul data yang dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi inovasi GII,” katanya.

Menjawab soalan R Yuneswaran (HARAPAN-Segamat) di Dewan Rakyat hari ini, Lih Kang menambah kerajaan akan menggiatkan usaha pengkomersialan Dasar Pengkomersialan Harta Intelek dan Reka Cipta Dibiayai Kerajaan 2021 hingga 2025.

“Ia bagi membolehkan kementerian, jabatan atau agensi kerajaan menguruskan harta intelek (IP) dengan sistematik bagi tujuan pengkomersialan seterusnya menjana pendapatan serta pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.


Pengarang :