Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Dialog bersama Timbalan Menteri Kewangan II sempena Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Libat urus bersama MITI bantu negeri kukuhkan kerangka Belanjawan Selangor 2024

SHAH ALAM, 24 OKT: Sesi libat urus bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI) membantu negeri merangka Belanjawan Selangor 2024 yang lebih kukuh untuk dibentang pada 10 November.

Dato’ Menteri Besar berkata perbincangan terus bersama Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini turut menyelaras hala tuju pentadbiran negeri seiring dengan peringkat persekutuan.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, segala input meliputi idea, cadangan serta pandangan dapat menyegar dan merangkaikan semula beberapa polisi negeri yang mahu mencapai taraf Negeri Pintar menjelang 2025.

“Sesi ini juga membolehkan kita mendepani apa yang dibentangkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menuju negeri yang didiami, membangun serta maju.

“Harap dari dialog ini, beberapa hari terakhir sebelum belanjawan kita dapat merangka kembali terutama sektor industri dan pelan ekonomi, sekurang-kurangkan mencapai fiskal pada tahun depan,” katanya berucap pada majlis berkenaan di The St. Regis, Kuala Lumpur hari ini.

Amirudin berkata hala tuju yang selari dengan persekutuan juga bakal menyokong usaha Selangor memacu sektor ekonomi sekali gus merealisasikan matlamat menjadi pintu gerbang ke Asean.

“Kita dapat memperkasakan lagi program negeri contohnya SIBS (Sidang Kemuncak Niaga Antarabangsa Selangor). Kita bermula dengan baik, ada speaker dari Thailand. Harap lepas ini dapat menteri, perdana menteri luar macam Singapore, Thailand.

“Invest Selangor Berhad kena bekerjasama dengan MITI supaya dapat tarik lebih ramai pihak,” katanya.

SIBS yang berlangsung minggu lalu selama empat hari mencatat nilai potensi pelaburan tidak rasmi mencecah RM4 bilion, mengatasi sasaran RM1.5 bilion selain menarik penyertaan kira-kira 50,000 pengunjung termasuk luar negara.

Sidang bertaraf antarabangsa yang mengetengahkan enam segmen utama turut disertai pempamer dari China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia.


Pengarang :