AGENDAJENAYAH

Syabu bernilai RM17.2 juta dirampas, lapan lelaki ditahan

KOTA BHARU, 31 OKT: Polis menahan lapan lelaki termasuk seorang warga Thailand dan merampas 521 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM17.2 juta dalam lima serbuan di Kelantan pada 25 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kesemua dadah itu dijumpai dalam tiga kenderaan ketika serbuan dilakukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kelantan.

“Dalam serbuan itu, polis menahan lapan suspek iaitu tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki Thailand berumur dalam lingkungan 20 hingga 54 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran melalui jalan darat sebelum diedar untuk pasaran tempatan terutama di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata sindiket terbabit dipercayai aktif pada awal Mei lalu dan saringan awal polis mendapati seorang suspek positif dadah jenis Benzo, manakala tujuh lagi negatif ujian air kencing.

“Semakan rekod jenayah mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah. Lima kenderaan yang dianggarkan bernilai RM309,000 disita menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah RM17.5 juta,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek ditahan reman tujuh hari dari 26 Oktober hingga 1 November bagi membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :