Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop pada majlis graduasi peserta program Fiber Optic Technician (FOT) dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan SRC Global Sdn Bhd di Auditorium STDC Kuala Selangor pada 13 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI taja 15 peserta bidang pemasangan kabel gentian optik STDC

KUALA SELANGOR, 14 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menaja 15 peserta bidang kemahiran pemasangan kabel gentian optik Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Ketua Pegawai Operasinya Saipolyazan M Yusop berkata daripada jumlah itu sebanyak RM75,000 diperuntuk bagi membantu pelajar berkenaan mengembangkan kemahiran.

“Rata-rata yang dibantu adalah daripada golongan asnaf dan kurang berkemampuan namun mempunyai kecekalan yang tinggi untuk menuntut ilmu.

“Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu mereka melebarkan sayap dan seperti kita sedia maklum ini merupakan antara bidang yang mendapat permintaan tinggi dalam sektor pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Graduasi Peserta Program Fiber Optic Technician (FOT) dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara STDC dan SRC Global Sdn Bhd di Kampus Induk STDC di sini semalam.

Saipolyazan menjelaskan pihaknya bersetuju untuk menaja pelajar kemahiran di STDC pada masa depan sekiranya program itu berjaya dan mendapat permintaan.

“Seperti kita sedia maklum program kemahiran memang menjamin pekerjaan dan rata-rata syarikat memang mencari graduan berkemahiran, insya-Allah sekiranya ada keperluan kita akan menaja lagi,” katanya.

Salah seorang pelajar terbaik pemasangan kabel gentian optik Muhammad Alif Anuar terharu dengan pengiktirafan itu dan berterima kasih dengan MBI di atas sumbangan yang diberi.

“Saya bersyukur dan terima kasih kepada MBI yang membantu menaja latihan saya di STDC selama 13 hari. Memang minat dengan bidang ini dan harap boleh pergi lebih jauh.

“Saya sarankan juga anak muda di luar sana yang kurang berminat dalam bidang akademik boleh beralih kepada kemahiran kerana ini antara bidang yang mendapat permintaan tinggi ketika ini,” ujarnya.


Pengarang :