Mufti Selangor Dato Dr Anhar Opir berucap pada Konvensyen Mahasiswa Selangor di Timur Tengah 2023 pada 10 Oktober 2023. Foto Facebook Mokmin Basri (Universiti Islam Selangor)
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mufti seru pelajar peka isu semasa, jayakan pembentukan generasi madani

SHAH ALAM, 11 OKT: Mahasiswa Selangor yang menuntut di Timur Tengah perlu berperanan menjayakan pembentukan generasi madani ke arah pembinaan masyarakat bernilai murni.

Berikutan itu, Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir berkata mahasiswa perlu mengetahui isu semasa dan keadaan masyarakat masa kini selain menekankan prinsip maqasid syariah.

“Mereka (mahasiswa) merupakan ejen kebaikan dan perubahan masyarakat selain pencorak generasi berdaya saing. Cuma bagaimana mereka boleh main peranan ini? Saya sokong dengan tiga perkara itu yang perlu dipikul,” katanya.

Beliau ditemui selepas Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah di Amman, Jordan semalam yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Lebih 300 anak Selangor yang mengikuti pengajian di Timur Tengah dihimpunkan dalam konvensyen itu dengan 24 kertas cadangan diterima meliputi aspek pembangunan, kebajikan, kerohanian dan pentadbiran.

Sementara itu, Dr Anhar berkata konvensyen edisi ketiga berkenaan wadah terbaik untuk mahasiswa berinteraksi dan melontarkan idea kepada pemimpin negeri.

Menurutnya, mahasiswa juga berpeluang memahami gagasan dan hasrat sebenar Dato’ Menteri Besar terhadap pengkhususan pengajian mereka sejurus tamat belajar.

“Kita yakin jika program ini diteruskan, banyak input boleh dikongsi bersama. Sebagai contoh, saya kongsi fatwa ajaran sesat dan mereka tahu apa yang berlaku di Malaysia,” katanya mengalu-alukan kunjungan hormat mahasiswa ke pejabat mufti negeri.


Pengarang :