AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Senggara aset LRA Sungai Langat 10 Oktober, jangka siap 7 malam

SHAH ALAM, 7 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melaksana kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pada 10 Oktober.

Agensi itu memaklumkan kerja berkaitan akan mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat bermula 9 pagi.

“Kerja ini dijangka siap pada 7 malam hari sama dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, 12 Oktober (Khamis).

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terlibat berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan bekalan air,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Air Selangor akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Agensi itu turut menasihatkan pelanggan terlibat menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual itu.

“Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan seluruh wilayah Air Selangor.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara,” katanya.

Maklumat berhubung gangguan bekalan air boleh diperolehi menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Senarai kawasan terjejas bekalan air seperti lampiran:

 

 


Pengarang :