Pemilik Alloraz Norazuwati Zakaria menunjukkan produk cecair pencuci baju dan pewangi kereta yang berada di pasaran ketika ditemui di Alloraz HQ Commercial Park, Pandan Indah, Ampang pada 12 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Usahawan cecair pencuci dibimbing teroka pasaran luar negara, produk semakin dikenali

Pening kepala Norazuwati Zakaria. Bermacam-macam campuran disebatikan. Namun, cubaannya untuk menghasilkan formula cecair pencuci pakaian yang diidam-idamkan tidak jua menjadi.

Tidak berputus asa, usahawan berusia 35 tahun yang kurang pengalaman dalam pembuatan pencuci itu terus cuba menghasilkan menggunakan bahan yang diimport dari Hong Kong dan Singapura.

Namun, kesilapan nisbah campuran bahan ‘glucam’, pewangi dan pemekat mengakibatkan hasilnya tidak sempurna. Sudahlah mahal mencecah RM163 sekilogram. Harga bahan pula ada naik RM25 tiap satu kilogram.

Semua itu mengakibatkan lebih separuh modal pinjaman daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) lesap. Belumpun mula berniaga, sebanyak RM15,000 daripada RM29,000 hilang begitu sahaja. Modal keseluruhan RM55,000.

Pencuci tidak wangi, sukar hilangkan kotoran, terlalu cair atau terlalu pekat. Hanya selepas tiga bulan, formula ditemui hasil bantuan rakan. Lahirlah jenama Alloraz sejak tahun lalu.

“Saya rugi RM15,000 dalam tiga bulan pertama sebab salah formula hasilkan cecair pencuci. Kemudian dapat formula betul hasil tunjuk ajar ‘sifu’ dalam bidang ini,” katanya kepada Selangorkini pada 12 September.

Pemilik Alloraz Norazuwati Zakaria ketika ditemubual Media Selangor di Alloraz HQ Commercial Park, Pandan Indah, Ampang pada 12 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebelum mengasaskan cecair pencuci tersebut, anak jati Kuala Lumpur itu pernah menjadi perunding perkahwinan. Namun, masalah jantung dan ketulan di dada pada 2018 menyebabkan tubuhnya lemah.

Bimbang faktor tekanan memudaratkan kesihatan, doktor menegah ibu dua anak itu bekerja terlalu kuat. Justeru, perniagaan terpaksa ditutup. Kenderaan pacuan empat roda juga dijual untuk melunas hutang. Lebihannya pula untuk kelangsungan hidup.

Selepas pulih daripada pembedahan pada 2019, Norazuwati memutuskan untuk menceburi perniagaan cecair pencuci. Beliau kemudian menjadi stokis sebuah syarikat pada tahun sama.

Beliau pantas mendaki kedudukan master stokis setahun kemudian. Bagi mengembangkan lagi perniagaan, usahawan itu membuat pinjaman RM5,000 daripada Hijrah. Sepanjang menjadi master stokis, Norazuwati berdikit-dikit menyimpan modal untuk membangunkan jenama sendiri.

Jual 8,000 botol

Pada 2022, Norazuwati mengasaskan syarikat yang mengeluarkan cecair pencuci pakaian jenama Alloraz, itupun selepas bertungkus-lumus mencari formula.

Beliau menghasilkan cecair pencuci meliputi tiga jenis wangian iaitu akasia, aster, azalea dan lotus. Turut dihasilkan, pewangi kenderaan. Semua produknya memasuki pasaran pada tahun sama.

Lebih 8,000 botol terjual. Wanita itu meraih lebih RM100,000 sebulan hasil jualan 150 stokis dan ejen seluruh negara. Pelanggannya terdiri daripada hotel, dobi, restoran, asrama selain pembelian individu.

Namun, jualan memberangsangkan itu tidak kekal lama. Kos import bahan mentah dari China yang naik mendadak menyebabkan Norazuwati terpaksa menjual produknya pada harga lebih tinggi.

Pemilik Alloraz Norazuwati Zakaria melihat kakitangan melakukan kerja melekatkan label pada cecair pencuci di Alloraz HQ Commercial Park, Pandan Indah, Ampang pada 12 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jualan merudum kepada purata 4,000 botol dengan anggaran RM56,000 sebulan. Separuh keuntungan hilang. Pun begitu, beliau bersyukur masih ada pelanggan membeli cecair pencucinya.

Di sebalik cabaran itu, Norazuwati bernasib baik apabila menyertai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Mexpro (Pecutan Pasaran Untuk Produk Eksport & Runcit) berikutan produk keluarannya berpotensi dieksport.

“Disebabkan mereka melihat perniagaan berpotensi dibawa ke pasaran eksport, saya diberi bimbingan dalam program PKNS Mexpro.

“Selain kelas bimbingan, saya jumpa ramai usahawan dan mereka ini membantu, tidak kedekut berkongsi ilmu. Banyak saya dapat belajar,” katanya.


Pemilik Alloraz Norazuwati Zakaria menunjukkan kaedah penghasilan cecair pencuci baju dan pewangi kereta ketika ditemui di Alloraz HQ Commercial Park, Pandan Indah, Ampang pada 12 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Norazuwati turut menyertai pelbagai karnival untuk memperkenal jenama Alloraz termasuk menghadiri Hari Aspirasi Usahawan Hijrah Selangor. Bagi menajamkan kemahiran berniaga, beliau juga menyertai Program Bina Bangun Usahawan (BizUp) PKNS.

Justeru, beliau yakin hasratnya untuk meluaskan lagi pasaran cecair pencuci Alloraz hingga ke Sabah dan Sarawak tercapai. Wanita itu juga memasang impian untuk melebar sayap ke pasaran antarabangsa, lebih-lebih lagi selepas menerima bimbingan banyak pihak berpengalaman.

 


Pengarang :