Sukan Para Asia: Malaysia rangkul emas kedua menerusi Nur Suraiya-Farina Shawati (pengemudi) dalam acara berbasikal 1,000m ujian masa wanita B
AGENDASUKANKINI

Sukan Para Asia: Berbasikal trek sumbang emas kedua negara

HANGZHOU, 24 OKT: Pelumba berbasikal trek para negara, Nur Suraiya Muhammad Zamri mempamerkan kayuhan bertenaga dalam perlumbaan akhir ujian masa 1,000 meter (m) untuk menghadiahkan pingat emas kedua negara di Sukan Para Asia Hangzhou 2022, di sini hari ini.

Bergandingan dengan jurumudi, Farina Shawati Mohd Adnan, Nur Suraiya menaamatkan saingan kategori wanita B dengan catatan masa 1 minit 13.434 saat (s).

Lebih manis pingat perak turut disambar gandingan senegara Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais-Nur Suhada Zainal pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Pusat Sukan Chun’ An Jieshou.

Nur Azlia Syafinaz pula merakam masa 1:14.083s untuk mengetepikan pelumba China, Wang Linhua yang terpaksa berpuas hati dengan gangsa menerusi catatan 1:14.787s.

Sementara itu, acara 1,000m ujian masa lelaki B turut menyumbang pingat perak menerusi gandingan Mohd Khairul Hazwan Wahab dengan masa 1:05.740s.

Pingat emas menjadi milik pelumba China, Luo Fei dengan masa 1:04.321s dan gangsa diraih pelumba Iran, Heidarabadi Mohammad Dalir dengan masa 1:06.343s.

Semalam, kontinjen negara raih emas pertama menerusi atlet renang Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dalam acara 100m kuak dada lelaki SB4.

– BERNAMA


Pengarang :