Keadaan bangunan di semenanjung Gaza yang musnah susulan serangan udara tentera Israel pada 8 Oktober 2023. Foto ihsan Global Peace Mission Malaysia
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Trak, ambulans sumbangan negeri bantu mangsa perang di Gaza

SHAH ALAM, 11 OKT: Sebuah trak bantuan dan ambulans dihantar bagi membantu mangsa di semenanjung Gaza yang terperangkap bawah runtuhan akibat serangan berterusan tentera Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia (GPM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata kenderaan itu hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang dilancar pada 2021.

“Sekarang sudah ada di sana (trak bantuan dan ambulans). Bila mana berlaku runtuhan akibat dibom, mangsa terperangkap dan kita perlu selamatkan mangsa.

“Trak ini hasil sumbangan rakyat Malaysia (melalui kutipan tabung kemanusiaan) dan akan digunakan di kala Gaza diserang,” katanya dihubungi hari ini.

Penduduk Palestin memeriksa masjid yang musnah dalam serangan Israel di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza pada 8 Oktober 2023. Foto REUTERS

Pada 25 Jun 2021, Selangor mengumumkan sebanyak RM370,000 daripada fasa pertama tabung berkenaan akan disalurkan kepada GPM untuk membeli sebuah ambulans dan makanan buat penduduk Palestin.

Kutipan juga digunakan untuk membeli tiga trak bantuan, bahan bakar dan set generator.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi mencadangkan tabung kemanusiaan tersebut diaktifkan semula sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin terkesan susulan konflik terbabit.

Beliau memaklumkan cadangan itu sudah disampaikan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan perbincangan lanjut akan dibuat sebaik beliau pulang dari lawatan kerja di Jordan.

“Kita juga akan bincang keperluan spesifik untuk bantu mangsa di sana memandangkan serangan kali ini berskala besar. Beberapa pilihan akan diberi untuk pertimbangan seperti bantuan perubatan, kelengkapan hospital, baik pulih rumah, keperluan asas dan set generator,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 950 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 5,000 lagi cedera dalam serangan Israel yang memasuki hari kelima.


Pengarang :