Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan (tengah) dan Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bersama penerima pada majlis sumbangan kepada 30 keluarga mangsa banjir di MPKK Kampung Batu 3, Semenyih, Hulu Langat pada 4 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Persediaan musim tengkujuh, MBI simpan stok keperluan asas

HULU LANGAT, 4 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membuat persediaan rapi dari segi stok keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan banjir ketika musim tengkujuh.

Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata keperluan mangsa bencana seperti kit kebersihan, makanan retort dan tilam sudah dikumpul di stor simpanan agensi itu.

Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada Media Selangor selepas majlis sumbangan kepada 30 keluarga mangsa banjir di MPKK Kampung Batu 3, Semenyih, Hulu Langat pada 4 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Persediaan kali ini lebih diperkasa dengan pelbagai agensi termasuk pengurusan bencana negeri dan persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Insya-Allah sekiranya diperlukan apa-apa bantuan tambahan daripada MBI kita sentiasa bersedia,” katanya selepas menyempurnakan serahan bantuan kepada 30 mangsa banjir di Bilik Gerakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 3, Semenyih di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata setakat ini sejumlah kira-kira RM700,000 telah dibelanjakan MBI bagi membantu mangsa bencana di negeri ini.

“Jumlah itu adalah sebahagian peruntukan RM1 juta untuk mangsa bencana bagi tahun ini,” katanya.

Selain bantuan bencana, MBI turut berbelanja besar untuk sektor pendidikan, tuisyen percuma, program komuniti, masjid, surau, insentif kepada jemaah haji dan sumbangan bakul makanan kepada golongan memerlukan.


Pengarang :