Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mencuba mengendali jentera potong padi ketika lawatan ke sawah padi di Jalan Parit 1, Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam pada 11 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri terap teknologi terkini termasuk AI, pastikan hasil padi Sekinchan terbaik

SHAH ALAM, 23 NOV: Selangor sentiasa menerapkan pelbagai teknologi dan teknik pertanian terkini bagi memastikan tanaman padi di Sekinchan mengeluarkan hasil yang terbaik.

Dato’ Menteri Besar berkata selain sistem pengairan berkesan, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) turut diterapkan bagi meningkatkan hasil tuaian.

“Hasil padi di Sekinchan merupakan yang tertinggi dalam negara dengan setiap hektar menghasilkan 12 tan berbanding negeri lain sekitar empat tan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Penanaman padi wangi MRQ 88 di Sekinchan, Selangor. Foto Sumber: YB Ng Suee Lim

Selain faktor tanaman lima musim dalam dua tahun berbanding empat musim di negeri lain, beliau berkata tatacara operasi piawai penanaman padi di wilayah berkenaan juga rapi.

“Majoriti pesawah Sekinchan teliti daripada peringkat penyediaan tanah, penggunaan benih berkualiti, pembajaan teratur hingga kaedah mencegah serangan rumpai dan serangga perosak.

“Penanaman secara mencedung (transplanter) juga dilakukan iaitu benih padi disemai terlebih dahulu di tapak semaian.

“Apabila anak padi mencapai tahap sesuai, lantas ditanam menggunakan jentera. Kaedah moden ini lebih baik untuk tumbesaran padi,” katanya.

Justeru, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian serius membangunkan industri tani selari dengan perkembangan zaman.

Kemajuan tanaman padi di Selangor mendapat perhatian diperingkat kebangsaan apabila kerajaan berhasrat memperhebatkan lagi program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia bagi menampung keperluan beras tempatan terutama bagi negeri yang terjejas dengan musim tengkujuh.

 


Pengarang :