Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru muncul juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2023 bawah 18 tahun selepas menewaskan SMK Dato’ Harun dalam aksi yang berlangsung di Stadium Arena MBSJ pada 6 November 2023. Foto penganjut Piala Dato’ Mokhtar Dahari
AGENDASUKANKINI

SMK Meru juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari

SUBANG JAYA, 7 NOV: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru muncul juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2023 bawah 18 tahun selepas menewaskan SMK Dato’ Harun, malam tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Arena MBSJ di sini, pasukan dari Klang itu menang 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1.

Penjaga gol Aghni Abdul Shukor Abdulloh muncul wira SMK Meru selepas menyelamatkan dua percubaan penalti dari SMK Dato’ Harun.

Terdahulu, beraksi dalam keadaan padang licin akibat hujan sepanjang perlawanan, SMK Meru membuka tirai jaringan menerusi Nor Ikhwan Norisham pada minit ke-34 sebelum Muhammad Akif Mohd Razmi menyamakan kedudukan untuk SMK Dato’ Harun pada minit ke-50.

Sementara itu, jurulatih SMK Meru Sabri Jaafar berkata disiplin dan semangat bekerjasama dalam kalangan pemain adalah kunci kejayaan pasukan itu merangkul kejuaran buat julung kali.

“Kami pernah tewas di peringkat akhir pada 2016, namun kami tidak pernah berhenti berusaha. Alhamdulillah tahun ini sejarah tercipta dan SMK Meru bergelar juara,” katanya.

SMK Meru membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi manakala SMK Dato’ Harun menerima wang tunai RM7,000 serta trofi.

Hadiah dan trofi kemenangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) Ahmad Fariz Hassan.

Sementara itu, SMK Seksyen 11 B15 dan SMK Jalan Kebun pula berkongsi di tempat ketiga selepas perlawanan penentuan dibatalkan akibat hujan lebat.

Berikut senarai pemenang anugerah Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2023:

  • Anugerah Pemain Terbaik – Haziq Mahaadzar (SMK Dato’ Haron)
  • Anugerah Penjaring Terbanyak – Muhammad Akif Mohd Razmi (SMK Dato’ Haron)
  • Anugerah Penjaga Gol Terbaik – Aghni Abdul Shukor Abdulloh (SMK Meru)
  • Anugerah Kumpulan Sorak Terbaik – SMK Dato’ Haron

Pengarang :