SHAH ALAM, 10 NOV: Festival Turath Islami yang julung kali diadakan Mei lalu, bakal dikembangkan supaya lebih ramai masyarakat Islam mendapat manfaat.
Menganggap penganjuran program itu sebagai berjaya, Dato Menteri Besar mengumumkan dana RM2 juta bagi merealisasi hasrat tersebut.
“Satu sekretariat tetap akan ditubuhkan bagi menganjurkan Festival Turath Islami pada tahun depan dan juga meluaskan program turath ke seluruh daerah di negeri ini,” kata Dato Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini hari ini.
Beliau bersyukur kerana festival itu disertai beberapa ulama terkemuka dunia bersama membincangkan karya ulung Imam Al-Ghazali bertajuk Ihya’ ‘Ulumuddin.
Mereka adalah bekas mufti agung Mesir Sheikh Dr ‘Ali Jum’ah, Pengetua Darul Musthafa Tarim Yaman, Habib Umar Hafidz dan pemimpin Nahdlatul Ulama, Indonesia Dr Said Aqil Sirodj.
Festival Turath Islami Selangor diadakan antara 20 hingga 25 Mei bersempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada bahasa Melayu.
Usaha penerbitan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), yang mendapat geran Kerajaan Negeri, dijangka memakan masa tiga tahun.
Festival dianjur Kerajaan Selangor bersama beberapa agensi negeri seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan IBDE.
Berlangsung seminggu, festival itu mengetengahkan lapan acara utama merangkumi segmen bersama orang awam, pemimpin, ahli akademik, agamawan serta mahasiswa.
Sebelum itu, dua majlis prapelancaran diadakan dengan Ulama Pondok Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menghurai kitab Ihya Ulumuddin di kediaman rasmi menteri besar pada 1 Mei.
Pada 18 Mei pula, Dr Ali Jumaah membaca dua kitab tauhid al-Tariq Ilallah dan al-Kharidah al-Bahiyyah di PPAS.