Hassan Imam bergambar di Jeti Chew semasa melawat pusat pelancongan dengan kerusi rodanya. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Jelajah Asia Tenggara berkerusi roda, OKU buktikan diri serba boleh

Oleh K. Ganeson

GEORGE TOWN, 28 DIS: Kecacatan anggota badan tidak menghalang seorang rakyat India menjelajah Asia Tenggara dengan berkerusi roda menerusi kempen kesedaran mesra kerusi roda, World Trip On Wheelchair.

Hassan Imam, 25, berasal dari Bihar, India memulakan perjalanannya ke Asia Tenggara selepas berjaya mengembara di India dan Bangladesh sejauh 10,000 kilometer (km).

Pemuda yang mengalami kecacatan kedua-dua kaki selepas menghidap polio ketika zaman kanak-kanak itu berkata beliau mengambil masa selama tujuh bulan untuk melengkapkan misi jelajah India dan Bangladesh dengan berkerusi roda bermula Mac 2023.

“Saya melakukan pengembaraan ke Asia Tenggara dengan menggunakan kerusi roda untuk melaksanakan kempen kebolehcapaian bagi orang kurang upaya (OKU) di tempat awam. Ini adalah satu kempen yang patut diberi perhatian ramai dalam dunia kontemporari,” kata siswazah Bahasa Rusia dari Universiti Jawaharlal Nehru, India ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Hassan berkata selepas India dan Bangladesh, beliau tiba di Kuala Lumpur dari Chennai, India menggunakan pesawat udara, awal Disember lepas.

“Dari Kuala Lumpur, saya akan meneruskan misi jelajah melalui darat menggunakan kerusi roda ke Perak sebelum tiba di Pulau Pinang dengan mengambil masa selama empat hari. Saya akan meneruskan perjalanan ke Kedah dan Perlis sebelum ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos dan China,” katanya.

Menurut Hassan beliau bersyukur kerana sepanjang pengembaraannya, orang ramai tampil menghulurkan bantuan makanan, kewangan dan penginapan.

Daripada pemerhatiannya sepanjang penjelajahannya di India, beliau mendapati kebanyakan tempat tarikan pelancong dan sistem pengangkutan awam tidak mempunyai tanjakan untuk pengguna kerusi roda, hanya terdapat tangga yang boleh dinaiki dengan berjalan kaki.

“Banyak teater, hotel dan pusat beli-belah di India masih tidak mesra kerusi roda, tetapi kebanyakan tempat lain seperti Malaysia mengamalkan konsep mesra kerusi roda,” kata pemuda itu.

Kerusi roda pilihan Hassan untuk perjalanannya dilengkapi pelbagai ciri, ia berkuasa bateri dan boleh digunakan sebagai skuter pada masa yang sama.

Kenderaan ini adalah cetusan idea sekumpulan pelajar India Institute of Technology (IIT) Madras, Chennai dan boleh bergerak kira-kira 40km dengan sekali cas.

-BERNAMA

 


Pengarang :