Jentera Majlis Perbandaran Klang membersih serta meratakan tapak pembuangan sampah haram di Jalan Kapar, Batu 14, Kapar pada 26 Mei 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang
EXCOSELANGOR

Sampah haram: Tidak boleh terus rampas tanah, beri pemilik masa pulih tapak

SHAH ALAM, 8 DIS: Kerajaan Negeri tidak boleh terus merampas tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram di Batu 14, Kapar, Klang.

Sebaliknya, Dato’ Menteri Besar menjelaskan tempoh tertentu perlu diberi kepada pemilik untuk memulihkan tanah sebelum tindakan lanjut diambil.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media selepas melancarkan penjenamaan identiti korporat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 8 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Mengikut undang-undang dan pengalaman, kita kena bagi masa kepada pemilik tanah untuk memulihkan tanah. Kita (Kerajaan Negeri) pernah kalah dalam kes mahkamah kerana merampas tanah dalam tempoh singkat.

“Gesaan kepada pemilik tanah perlu dilakukan (untuk memulihkan tanah) dan kita kena bagi masa. Jika tidak dibuat (pulih tanah), kita rampas (tanah),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas pelancaran penjenamaan identiti korporat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di sini hari ini.

Beliau menambah isu terbabit akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor untuk dibincang selain berharap penduduk sekitar tapak pelupusan sampah bersabar dengan situasi dihadapi ketika ini.

“Saya percaya pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang telah mengeluarkan notis supaya pemilik segera memulihkan tanah,” katanya lagi.

Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kuala Selangor menggunakan teknik gali dan siram pada operasi pembersihan tapak pembuangan sampah haram di Jalan Kapar, Batu 14, Kapar pada 18 Mei 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang

Pada 3 Disember, seramai 100 penduduk membuat bantahan aman dan menyerahkan memorandum berhubung isu pencemaran bau yang berpunca daripada tapak pelupusan sisa domestik seluas 1.2 hektar.

Masalah pembakaran sisa itu dihadapi penduduk di tujuh kampung antaranya Kampung Sungai Serdang, Kampung Batu 12, Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong dan Bukit Kapar.


Pengarang :