Pemandangan bandar Klang (gambar hiasan). Foto Facebook Klang Bandar DiRaja
PBTSELANGOR

Berstatus bandar raya, Klang kekal imej warisan sejarah

SHAH ALAM, 30 NOV : Majlis Bandaraya Klang (MBK) komited menyediakan perkhidmatan cemerlang seiring dengan penarafan sebagai bandar raya ke-20 di Malaysia.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Norfiza Mahfiz berkata pihaknya juga bersedia mengangkat imej Klang sebagai bandar raya yang unik serta memiliki warisan sejarah menjelang 2030.

“Penarafan status bandar raya membuktikan MBK memiliki kekuatan aspek kewangan selain berupaya menyediakan perkhidmatan perbandaran efisien, berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

“MBK sebenarnya telah melakukan persediaan untuk dinaik taraf ke bandar raya bermula sejak 2006 kerana sudah lama memenuhi kriteria (bandar raya) iaitu pendapatan melebihi RM300 juta sejak beberapa tahun lalu.

“Malah, jumlah penduduk Klang yang berbanci setakat ini adalah lebih 902,000 orang selain menjadi penempatan berdaya huni,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas berkaitan isu kebersihan, beliau berkata pihaknya memandang serius dan akan meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani perkara tersebut.

Katanya, kutipan sampah di kampung di kampung juga dilaksanakan secara pintu ke pintu atau lot ke lot oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di semua lokasi terlibat mengikut jadual ditetapkan.

“Bagaimanapun, penduduk diminta bekerjasama menyediakan tong sampah dan meletakkannya di hadapan rumah atau premis masing-masing bagi memudahkan kerja kutipan dilakukan.

“Selain itu, kita turut bangga dengan kesedaran dalam kalangan warga Klang yang semakin meningkat berkaitan kebersihan antaranya seperti di Taman Sentosa, Rantau Panjang dan Kampung Delek,” ujarnya.


Pengarang :