Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir dari Kampung Bukit Dagang, di Ulu Tiram selepas kawasan tersebut dinaiki air. Foto JBPM Johor
AGENDANASIONAL

Jawatankuasa pengurusan bencana negeri, daerah Johor dan Pahang diaktifkan

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mahu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah (JPBN/JPBD) diaktifkan berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada dan buruk di beberapa kawasan di Johor dan Pahang yang dikeluarkan Jabatan Metreologi (MetMalaysia) pada 12 tengah hari tadi.

Nadma dalam kenyataan hari ini meminta agar JPBN dan JPBD meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

“JPBN/JPBD juga perlu memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Nadma memaklumkan pihaknya melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel [email protected].

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Mersing dan Kota Tinggi, Johor sehingga Ahad (7 Jan).

– BERNAMA


Pengarang :