Ketua jurulatih Jordan, Hussein Ammouta (kiri) dan Kapten Jordan, Ehsan Haddad pada sidang media pra-perlawanan kumpulan E antara Malaysia menentang Jordan sempena Piala Asia 2023 di pusat media di Doha pada 14 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Jordan tidak pandang rendah ancaman Harimau Malaya, jangka perlawanan sengit

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

DOHA, 14 JAN: Jordan tidak memandang rendah keupayaan Malaysia meskipun berada di kedudukan ranking dunia lebih tinggi iaitu ke-87 apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pertama Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini Selasa ini.

Ketua jurulatih Jordan Hussein Ammouta berkata perlawanan pembukaan adalah penting bagi semua pasukan dan pertemuan menentang Harimau Malaya yang dibimbing oleh Kim Pan Gon dari Korea Selatan dijangka sukar.

Bagaimanapun, warga Maghribi berusia 54 tahun itu berkata fokus pasukannya ialah mengekalkan pertahanan yang kukuh bagi memastikan kutipan tiga mata.

“Kami sedar perlawanan ini tidak mudah, jadi mengekalkan konsentrasi penuh adalah penting. Kami mahu bermain dengan agresif dan memanfaatkan segala kekuatan kami di padang.

“Kami tidak memandang rendah mana-mana lawan, kami menghadapi setiap perlawanan dengan serius dan penuh tumpuan tanpa sebarang rasa angkuh. Objektif utama kami adalah untuk memastikan tiga mata dalam genggaman dan memulakan kejohanan ini dengan permulaan yang positif,” katanya dalam sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia telah mengalami evolusi dengan pemain yang luar biasa, justeru itu menjangkakan bahawa perlawanan antara kedua-dua pasukan adalah sengit dan mencabar.

Sementara itu, pemain pertahanan Jordan Ehsan Hadad berkata pasukannya sudah bersedia untuk berdepan dengan Malaysia selepas kem latihan yang produktif dan dua perlawanan persahabatan sebelum ini.

Hadad berkata pemain Jordan akan turun dengan penuh semangat dan berazam memberikan kemenangan yang mampu membuatkan penyokong mereka tersenyum.

“Jangkaan penyokong Jordan adalah tinggi dan sewajarnya begitu. Kami menghargai sokongan mereka dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi impian mereka. Kem latihan sebelum ini penuh dengan sikap positif dan moral yang tinggi. Pengajaran yang kami dapat daripada dua perlawanan persahabatan sebelum ini sangat penting dalam menangani kesilapan kami.

“Meskipun sejarah adalah penting, fokus kami ialah pada ketika ini. Prestasi semua pasukan sentiasa meningkat termasuk Malaysia… meskipun pernah menang dua kali ketika menentang Malaysia, kami menjangkakan perlawanan sengit dan sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan cabaran itu,” kata pemain Al-Faisaly itu yang berusia 29 tahun.

Untuk rekod, Malaysia yang berada di ranking ke-30 tidak pernah menang ke atas Jordan dalam lima perlawanan terakhir iaitu tiga kalah dan dua seri, dengan pertembungan terakhir pada 2021 menyaksikan pasukan dengan julukan ‘The Chivalrous Ones’ itu menang 4-0 dalam aksi persahabatan.

– BERNAMA


Pengarang :