AGENDANASIONAL

Kanak-kanak sembilan tahun lemas ketika bermain bersama rakan di Pulau Banding

IPOH, 7 JAN: Kanak-kanak perempuan sembilan tahun lemas di Jeti Mat Shah, Pulau Banding, Gerik, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood dalam kenyataan berkata sepasukan polis dari Balai Polis Bersia bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berkaitan insiden itu kira-kira 8.20 malam.

Beliau berkata siasatan awal melibatkan pemeriksaan luaran badan mangsa serta di sekitar tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.

Zulkifli berkata menurut bapa mangsa yang berusia 40 tahun dan merupakan pekerja di Pulau Banding, 6 petang semalam anaknya bermain air bersama rakan di tepi Pulau Banding di tempat letak bot jeti tersebut.

“Mangsa disedari hilang pada 6.30 petang dan beliau berusaha mencari bersama rakan-rakannya.

“Pada 6.50 petang, anaknya ditemui di tepi pulau, belakang bot berhampiran Rumah Bot Mat Shah dalam keadaan lemas di dasar pulau pada kedalaman kira-kira enam kaki (1.82 meter) dan terus menghubungi Hospital Gerik,” katanya.

Beliau berkata bedah siasat dijalankan pihak perubatan Hospital Gerik yang mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan lemas dan pemeriksaan lanjut tidak menemukan kecederaan lain atau unsur jenayah.

Mayat mangsa diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

– BERNAMA


Pengarang :