Penduduk membuat pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Orang ramai serbu kaunter Padu di karnival rakyat Gombak

GOMBAK, 28 JAN: Kaunter pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (Padu) menjadi tumpuan di Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak 2024 dan Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di sini hari ini.

Tinjauan mendapati warga Gombak mula beratur di kaunter berkenaan seawal jam 8 pagi sejurus karnival di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai itu membuka tirai.

Pesara, Halimahton Mat Shari, 70, mengunjungi kaunter kendalian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu selepas 10 kali mencuba pendaftaran secara dalam talian.

Halimahton Mat Shari

“Sudah 10 kali saya cuba daftar sendiri tapi gagal. Laman sesawang itu maklumkan gambar saya tidak cukup lengkap. Saya pun hairan mengapa.

“Saya datang ke sini selepas jiran beritahu ada kaunter yang buka untuk bantu pendaftaran Padu, jadi saya mahu selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Suri rumah, K Punggothai, 42, pula berkata beliau mengunjungi kaunter DOSM untuk meminta pertolongan mengemas kini data peribadi dalam Padu.

K Punggothai

Menurutnya, beliau sudah mendaftar sistem itu secara dalam talian minggu lalu namun keliru dengan beberapa maklumat dan arahan yang disediakan.

“Saya sudah daftar minggu lalu tetapi datang ke sini kerana mahu kemas kini data. Ada beberapa perkara yang saya keliru,” katanya.

Sistem Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu mengandungi profil penduduk untuk membantu kerajaan melaksanakan dasar secara bersasar.

Pendaftaran dan kemas kini maklumat boleh dibuat antara 2 Januari hingga 31 Mac menerusi pautan https://www.padu.gov.my

Setakat minggu lalu, Selangor merekodkan pendaftaran Padu tertinggi dengan lebih 300,000 individu, diikuti Sarawak (220,00 individu) dan Johor dengan jumlah 170,000 orang.


Pengarang :