Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura Skim Insurans Am Selangor (INSAN) kepada penerima ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Skim INSAN: Pemuda kudung kaki kanan syukur terima pampasan RM10,000

GOMBAK, 28 JAN: Seorang pemuda yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya pada September lalu bersyukur apabila menerima tuntutan pampasan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Muhammad Nafil Naufal Ahmad Mustain, 23, yang menerima pampasan RM10,000 akan memanfaatkan wang itu untuk membeli kerusi roda elektronik bagi memudahkan rutin hariannya.

Muhammad Nafil Naufal Ahmad Mustain, 23,

“Saya terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang kerja di Seri Kembangan. Saya rasa sangat bersyukur kerana ibu memaklumkan ada mendaftar nama saya dalam skim INSAN pada 2022.

“Duit ini saya akan guna untuk beli kerusi roda canggih baharu supaya saya dapat berdikari dan menguruskan diri sementara menunggu kaki palsu siap,” katanya.

Terdahulu beliau antara tiga penerima cek cura pampasan INSAN yang diserahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor Norita Mohd Sidek.

Sementara itu, Azlan Idris, 44, tidak dapat menahan sebak apabila menerima wang pampasan skim INSAN susulan kematian anak sulungnya akibat kemalangan jalan raya pada Oktober lalu.

Azlan berkata beliau dihubungi wakil MBI yang memaklumkan anak perempuannya dilindungi INSAN bagi kategori pelajar iaitu perlindungan menyeluruh dengan jumlah pampasan RM11,000.

Azlan Idris, 44,

“Kemalangan jalan raya itu berlaku ketika saya dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah menaiki motosikal. Saya sendiri masih belum sembuh sepenuhnya akibat kemalangan berkenaan.

“Wang pampasan ini sedikit sebanyak meringankan beban saya yang masih belum mula berniaga untuk menyara keluarga,” katanya yang masih berjalan menggunakan tongkat akibat kecederaan di peha.

M Kalaivany, 42, bersyukur kerana MBI menerima tuntutan insurans mendiang bapanya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Januari tahun lalu.

Jelasnya, beliau hanya memulakan tuntutan pampasan pada September lalu selepas mengetahui mendiang bapanya ada mendaftar skim INSAN pada 2022.

M Kalaivany, 42,

“Wang sebanyak RM11,000 ini saya akan serahkan sepenuhnya kepada ibu kerana dia lebih berhak selain ibu juga sudah uzur dan tidak mempunyai pendapatan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi mempermudahkan urusan tuntutan insurans ayah saya. Semuanya berjalan dengan baik sekali,” katanya.

INSAN diperkenal pada 2022 bagi melindungi semua penduduk negeri ini seawal usia 30 hari hingga 80 tahun dengan kos premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Menyasar enam juta rakyat, skim itu memberi perlindungan sehingga RM10,000 bagi kes hilang upaya kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Awal Ogos tahun lalu, INSAN ditambah baik dengan menawarkan skim INSAN Takaful yang memberi perlindungan sehingga RM10,000 manakala waris sebanyak RM1,000 jika berlaku kematian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melancarkan Skim INSAN Takaful di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (dua, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :