Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As-Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sasar enam juta penduduk daftar skim insurans percuma hingga September 2023

HULU SELANGOR, 4 DIS: Kerajaan Negeri menyasarkan enam juta penduduk mendaftar skim Insurans Am Selangor (INSAN) menjelang September tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata setakat ini lebih 3.5 juta penduduk sudah memohon bagi mendapatkan manfaat perlindungan insurans sehingga RM10,000.

“Selangor satu-satunya negeri termasuk di Asia Tenggara yang mampu memberi perlindungan insurans kepada rakyatnya demi menjaga kebajikan.

“Sekarang lebih 3.5 juta sudah mendaftar dan kita sasar enam juta membuat permohonan sehingga September tahun depan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap di program Jelajah Selangor Penyayang Hulu Selangor di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima bantuan blueprint pembasmi kemiskinan pada program Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

INSAN adalah polisi insurans kemalangan diri berkumpulan untuk penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery. Maklumat lanjut, layari programinsan.com

Aplikasi Wavpay dibangunkan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd, sebuah syarikat dalam Kumpulan MBI, yang berperanan sebagai pengendali perkhidmatan.


Pengarang :