EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi (dua, kiri) bersama Setiausaha Agung Badminton Asia Datuk Kenny Goh (tiga, kanan) bergambar bersama Piala Kejohanan selepas Sidang Media Kejohanan Badminton Berpasukan Asia Selangor (SELBATAC) 2024 di Hotel Courtyard By Marriott, Shah Alam pada 18 Januari 2024. Turut hadir Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi (kanan). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Malaysia sasar layak separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia

SHAH ALAM, 18 JAN: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyasar sekurang-kurangnya pasukan negara layak ke cabaran separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Selangor 2024 bulan hadapan.

Setiausaha Agungnya Datuk Kenny Goh berkata ketika ini pihaknya masih belum memuktamadkan senarai pemain negara dalam kejohanan berprestij Asia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam.

Setiausaha Agung Badminton Asia Datuk Kenny Goh bercakap kepada media selepas pengumuman tarikh Kejohanan Badminton Berpasukan Asia Selangor (SELBATAC) 2024 di Hotel Courtyard By Marriott, Shah Alam pada 18 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kami masih menunggu sebab kita ada sampai 26 Januari ini untuk pendaftaran pemain. Mungkin pengarah kejurulatihan masih memerlukan masa sebelum buat keputusan muktamad.

“Kita sasar sekurang-kurangnya Malaysia layak ke separuh akhir, itu sudah memadai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media pengumuman BATC Selangor 2024 di sini, hari ini.

Awal bulan ini, Lee Zii Jia mengesahkan akan beraksi dalam skuad kebangsaan bagi membawa cabaran negara pada saingan BATC Selangor 2024.

Pada saingan BATC Selangor edisi 2022, pemain perseorangan lelaki profesional itu antara watak penting yang membantu pasukan negara mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia pada aksi final.

BATC Selangor 2024 bakal menampilkan 26 pasukan daripada 15 negara seperti China, Jepun, Indonesia, Singapura, Kazakhstan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kejohanan badminton berprestij Asia itu bakal bermula pada 13 hingga 18 Februari hadapan dan tiket boleh dibeli menerusi pautan http://selbatc2024.com bermula hari ini.

Skuad badminton negara meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Selangor 2022 selepas menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 20 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :