AGENSISELANGOR

Tiada lagi bil fizikal, semak kadar cukai tanah dalam talian

SHAH ALAM, 2 JAN: Bermula tahun ini, pentadbiran tanah negeri menetapkan tiada lagi pengeposan bil cukai tanah dan cukai petak kepada pemilik hartanah di Selangor.

Sebaliknya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor memaklumkan pemilik perlu mengimbas kod QR yang disertakan antaranya di media sosial bagi memperoleh bil secara dalam talian.

“Pengguna boleh mendaftar dengan memasukkan no akaun, ID atau butiran hak milik. Sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan [email protected],” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian poster, agensi berkenaan turut mengingatkan pengguna membayar cukai berkaitan sebelum 31 Mei setiap tahun dengan merujuk ehasil.selangor.gov.my.

Katanya, tanah atau petak dengan tunggakan cukai boleh dikenakan tindakan perampasan tanah bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara 1965 dan dan Seksyen 23L Akta Hakmilik Strata 1985.


Pengarang :