Orang ramai beratur bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning di Jalan Bukit Kemuning, Shah pada 27 Januari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga emas kunjungi JER, beli bekalan dapur untuk jiran kesempitan

SHAH ALAM, 27 JAN: Penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) memberi manfaat kepada rakyat kurang berkemampuan mendapatkan barangan keperluan asas pada harga rendah.

Warga emas, Janet Beins, 72, berkata beliau hadir ke JER di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning bagi membantu menyediakan bekalan dapur kepada jiran yang dalam kesusahan.

Janet Beins, 72. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

“Hari ini saya datang bukan sahaja untuk beli barang sendiri tetapi saya beli untuk jiran yang tidak mampu datang dan orang miskin.

“Di kejiranan saya, masih ada yang hidup dalam kesusahan. Jadi, kita bantu sediakan barangan keperluan asas supaya mereka dapat makan dan teruskan kehidupan,” kata ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Sri Muda itu.

Sementara itu, Anne Chew, 73, yang pertama kali menghadiri jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengakui teruja melihat pelbagai produk pada harga rendah.

“Jika ia dianjurkan sekali lagi di kejiranan ini, saya pasti akan datang. Harga ditawar memang murah dan saya berharap penganjur dapat menambah jualan jenis sayur-sayuran.

“Saya harap program ini diadakan lebih kerap atau dianjur jualan secara mega menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. Saya rasa semua orang akan cari barangan asas yang murah untuk jamuan perayaan,” katanya.

Anne Chew, 73. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 2 Januari, Pengurus Kanan Pemasaran PKPS Md Fazir Abdul Latif berkata jualan murah yang dilaksanakan sejak 2022 diteruskan tahun ini di lebih 1,800 lokasi seluruh negeri pada tahun ini.

Katanya, lokasi itu tidak termasuk dengan program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi fresh pada hujung minggu.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :