Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Putrajaya pada 15 Februari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agama jadi bahan politik makin serius, keliru punca umat bermusuh

SHAH ALAM, 15 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegur pihak yang menjadikan isu agama sebagai bahan politik sejak beberapa dekad lalu malah semakin serius kebelakangan ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah keadaan tersebut menyebabkan berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama, telah tiba masanya semua umat Islam bersatu. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam.

“Di samping itu pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas dari pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama,” titah baginda ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dikongsi di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda juga menasihatkan umat Islam di negara ini terutama alim ulama dan ilmuan Islam sentiasa memelihara adab ketika mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbul kekeliruan.

“Kita tidak perlu berbalah secara terbuka mengenai perkara yang boleh diselesaikan dengan bermusyawarah dan secara tertutup. Kita perlu meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan perbezaan secara ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul.

“Rakyat sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua. Beta berharap saranan dan nasihat Beta ini dijadikan panduan ke arah perpaduan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini,” titah baginda.

Sultan Selangor juga berharap amalan melantik menteri agama dalam kalangan bukan ahli politik diteruskan dan tumpuan sepenuhnya dapat diberi untuk menyelesaikan isu melibatkan umat Islam.

“Beta menyarankan kelayakan akademik berasaskan ijazah pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama di dalam melantik seorang menteri agama,” titah baginda.


Pengarang :