Kostum tarian singa buatan perusahaan Wang Seng Hang (WSH) Dragon & Lion Arts diasaskan Siow Ho Phiew terkenal di seluruh dunia. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kostum tarian singa Malaysia buruan masyarakat Tionghoa seluruh dunia

Kehalusan seni kostum tarian singa buatan perusahaan Wang Seng Hang (WSH) Dragon & Lion Arts diasaskan Siow Ho Phiew terkenal di seluruh dunia.

Selain pasaran tempatan, kostum tarian singa dihasilkan dalam bengkel di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam itu banyak mendapat tempahan dari negara luar.

Antaranya Australia, Amerika Syarikat, Kanada, India, Afrika Selatan, China, Hong Kong, Taiwan, Thailand dan beberapa negara Eropah.

Dek kecantikan seni dan ketahanannya, kostum tarian buatan Malaysia itu sering mendapat permintaan global, lebih-lebih lagi pertandingan tarian singa banyak dianjur di seluruh dunia.

Namun permintaan kostum itu memuncak beberapa bulan menjelang Tahun Baharu Cina. Populariti kostum tarian singa WSH Dragon & Lion Arts juga menyebabkannya menjadi mangsa ‘cetak rompak’ negara lain.

“Kepala singa buatan Malaysia paling terkenal sampai ada negara lain tiru. Apabila Tahun Baharu Cina sudah dekat, saya dapat sampai 200 tempahan.

“Tiga bulan sebelum Tahun Baharu Cina saya tutup tempahan sebab terlalu banyak.

“Ramai juga yang sudah tempah siap-siap untuk tahun depan,” kata Ho Phiew kepada Selangorkini pada 12 Januari.

Kostum tarian singa oleh WSH Dragon & Lion Arts mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan ia pernah ditonjolkan dalam program Rentak Selangor.

Mengimbau penglibatannya dalam warisan Cina itu, bapa tujuh anak berumur 69 tahun mula membuat kostum tarian singa pada 1986 secara kecil-kecilan di rumah.

“Asalnya pada 1984 buat tanglung suka-suka untuk diri sendiri, tetapi ada kawan minat hasil tangan saya, dia minta buatkan untuk dia.

“Lama-lama saya cuba buat kostum tarian singa pula,” kata anak jati Pulau Ketam, Klang itu.

Kostum tarian singa oleh Ho Phiew boleh disiapkan dalam lapan hari dan dijual pada harga antara RM3,000 hingga RM4,000.

Bakat membuat kostum tarian singa diwarisi dua anak perempuan dan seorang anak lelaki Ho Phiew. Anak-anaknya antara 10 pekerja di bengkel beliau.

Tugasan menyiapkan kostum tarian singa dibahagi berdasarkan kemahiran seperti membuat rangka, menjahit dan mewarna.

Proses membuat

Namun, tugas menjahit tidak dilakukan di bengkel, sebaliknya dilakukan pekerja wanita di rumah masing-masing.

Keistimewaan kostum tarian singa dihasilkan Ho Phiew ialah corak menarik dan rangka kepala singa daripada rotan batu yang lebih mudah dilentur, berkualiti dan tahan lama.

Ia berbeza sesetengah negara lain yang menghasilkan rangka kepala singa daripada buluh yang mudah patah.

Sementara itu, kulit kepala kostum tarian singa dibalut sejenis kertas khas diperbuat daripada buluh import dari China.

Pemilihan warna dan corak bergantung kepada permintaan pelanggan berbanding kostum singa tradisi yang terhad kepada warna putih dan hitam.

Selepas proses melukis corak selesai, kepala singa disapu cat pengilat bagi memastikan warnanya tidak luntur.

Ho Phiew menghasilkan dua jenis kepala singa iaitu Hok San dan Fut San. Kedua-duanya berasal wilayah Guangdong, China.

Kepala singa Hok San memiliki bibir yang mendatar dan tanduk yang bulat. Manakala Fut San pula bibir melengkung dan bertanduk runcing.

Namun rentak dan gerak tari bagi kedua-dua jenis kepala singa berkenaan hampir sama. Ia diiringi muzik menggunakan gendang, gong, simbal dan pemukul kayu.

Selain kostum tarian singa, Ho Phiew juga menghasilkan kostum tarian naga solo, namun hanya kecil-kecilan dan bergantung permintaan pelanggan.

Mengenai pantang larang membuat kostum tarian singa, Ho Phiew berkata tiada larangan tertentu, malah berbangga warisan masyarakat Cina itu diraikan kaum lain.

“Tiada pantang larang. Orang sekarang berfikiran lebih terbuka. Dahulu ada pantang larang orang perempuan tak boleh buat tugas itu dan ini, tetapi sekarang tidak lagi.

“Anak kawan saya orang Melayu juga ada menyertai persatuan tarian singa. Ada juga orang India tempah kostum dengan saya,” katanya.


Pengarang :