BUDAYARENCANA

Dunia Bumiputera

Oleh Lokman Hakim

Penerbangan ke Kuala Lumpur akan berlepas dalam setengah jam lagi. Di tangan saya, naskhah Not to Read tulisan Alejandro Zambra diselak esei di bahagian tengahnya sekali lalu. Bulan ini, saya sudah berulangkali ke Sarawak, baik ke Sibu mahupun Kuching. Dan kelana itu lazimnya diiringi perjalanan merentasi Lebuhraya Pan Borneo demi bergerak ke Sri Aman dan beberapa daerah yang tidak mempunyai lapangan terbangnya tersendiri. Rentak perniagaan syarikat sebegini akan membawa saya ke seluruh Sarawak dalam masa setahun. Perkelanaan yang jauh dan lama. Beberapa buah projek mega sedang rancak diatur perolehannya.

Urusan di Kuching baru sahaja selesai. Ia merupakan suatu kongres perbincangan yang sangat berorientasikan kehendak dan harapan bumiputera Sarawak. Tika idea demi idea dan kaedah pelaksanaannya dilontar dan dibincangkan, saya sering bertanya pada diri, apa yang dunia akan lakukan kelak? Apa tindak balasnya? Adakah ia akan memakmurkan atau membinasa? Namun, apa yang jelas, persoalan saya itu bukanlah subjek utama untuk dibincangkan dalam tempoh dua hari. Idea demi idea harus dilontar dahulu ke dalam lohong gelap. Jika ia timbul kembali, teruskanlah. Jika lenyap, teruslah berangan.

Apa yang nyata, saya berasa badan saya sedikit susut. Meski makan minum saya dibiayai sepanjang acara, saya tidak begitu berselera mahu menikmati juadah yang disediakan. Lesu, saya bergerak ke tandas. Suatu perkara aneh yang saya sedari adalah ketinggian tubuh saya sudah berubah rendah.

Seingat saya, sewaktu kongres perbincangan yang bertunjangkan hasrat bumiputera Sarawak itu, tiada langsung suara membangkitkan pertanyaan, apakah yang akan berlaku sekiranya setiap idea yang diwartakan dalam perbincangan, direalisasikan? Selama ini, dunia ini begitu luas dan sarat dengan pelbagai kemungkinan.

Meletakkan kerajaan selaku tonggak penggerak setiap cadangan adalah absurd. Setiap pihak ada kekangannya. Seperti mana saya kini yang berada di hadapan cermin sinki tandas ini, kekangannya adalah saya mula tidak dapat melihat muka saya. Ketinggian saya susut. Saiz kaki dan tangan saya juga mengecut. Anehnya, pakaian saya sudah mengerdil sekali bersama-sama saya. Begitu juga dengan beg laptop yang saya kendong bersama.

Panik, saya berlari keluar dari tandas. Setiap orang begitu gergasi layaknya. Dan saiz saya kini membuatkan saya seolah-olah halimun dek kerana kesibukan manusia mengejar waktu dan ruang di terminal lapangan terbang. Dunia seolah-olah mahu memberitahu bahawa saya kini begitu kerdil dan tidak mampu berbuat apa-apa mengenainya. Saya merapatkan diri ke dinding. Saya cari ruang terperuk di sebalik hiasan pokok-pokok. Saya memerhati jam dinding. Waktu pelepasan berbaki lima belas minit lagi. Dalam keadaan sekarang, saya akan terlepas penerbangan. Saya harus bertindak pantas tapi bagaimana?

Saya berlari ke arah balai pelepasan. Saya sedari kelibat saya tidak kelihatan apatah lagi disedari sesiapa. Maksudnya saya boleh sahaja melepasi pemeriksaan di pintu masuk nanti dan duduk di bangku yang saya tempah. Cuma saya harus berwaspada untuk tidak dipijak sesiapa. Saya mengandaikan setiap apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Barangkali Tuhan… sebentar, saya tidak layak menafsir bukan-bukan. Saya harus melepasi kesusahan ini terlebih dahulu.

Ia satu momen yang sukar dilupakan, apabila seorang demi seorang penumpang yang berbaris melintasi tanpa menyedari kewujudan saya. Saya bertempik tetapi tiada mendengar. Ibaratnya saya berada di dimensi asing. Saya terlihat naskhah Not to Read yang tidak sempat saya habisi, tersadai di atas tempat duduk balai pelepasan. Dalam keadaan naskhah yang terbuka dengan bahagian tetulangnya menghadap siling, saya percaya saya boleh menyelinap ke bahagian bukaan di tengah-tengahnya itu. Saya duduk berteleku sebelum merapatkan kedua-dua lutut ke dada lalu menangis.

Tidak pernah saya berasa buntu sebegini rupa. Saya teringat detik-detik kesusahan yang saya lalui sebelum ini. Dibebani hutang menimbun. Puluhan tender kerajaan dimasuki tetapi satu pun tidak diperolehi. Syarikat tempat saya bekerja juga kini tiada projek. Jika keadaan berlarutan hingga ke pertengahan tahun begini, pastilah syarikat akan tutup. Bankrap.

Saya seorang pengarah syarikat. Saya juga seorang bumiputera. Saya tidak merasai apa-apa inisiatif mahupun bantuan kerajaan Madani. Tiada ruang untuk saya menyelitkan borang permohonan yang sesuai dengan kategori. Saya barangkali ditafsir selaku kelompok M40 atau T20. Tanggungan saya dinihilkan nilainya sama sekali.

Tiada siapa mengutip buku yang membumbungi tubuh kerdil saya sekarang. Para penumpang pesawat juga sudah susut. Saya dengar nama saya dipanggil beberapa kali tanpa saya mampu berbuat apa-apa mengenainya.

Saya dongak dan saya dapati saya terdapat pada halaman di mana Alejandro Zambra bersabda begini: “I’m not exaggerating if I say that most Chileans don’t want to read Chileans, much less Latin Americans.”

Entah kenapa ia seolah-olah senada dengan tanggapan saya bahawa kebanyakan bumiputera percaya mereka adalah segala-galanya di negara ini, sedangkan di mata dunia, kewujudan dan juga kepentingan mereka itu adalah sekerdil-kerdilnya. Sekerdil saya yang kini berlindung di bawah buku yang terlingkup, tanpa upaya menyahut panggilan yang menyebut nama saya untuk menaiki pesawat yang saya sudah beli tiketnya dengan harga premium.

Tiba-tiba seseorang mengutip buku yang membumbungi saya. Seorang wanita petugas syarikat penerbangan merenung saya lalu dia bertanya “Boarding pass?”

Dengan tenang saya keluarkan tiket penerbangan dan juga kad pengenalan dari dompet lalu dihulurkan kepada petugas itu sebelum dia mengisyaratkan agar saya ikut beratur ke dalam pesawat.
Saya duduk di bangku dengan menung dan barangkali saya patut kurangkan baca Alejandro Zambra dan ulang balik baca Sulalatus Salatin.

 


Pengarang :