Pemilik kilang colok tradisional Ong Chin Chye, 64 menunjukkan colok naga yang telah siap ketika ditemui di sebuah kilang membuat colok tradisional di Kubang Semang pada 3 Januari 2024. Foto BERNAMA
BUDAYARENCANA

Colok naga dari Kubang Semang jadi tumpuan, ditempah 10,000 batang

BUKIT MERTAJAM, 4 FEB: Pembuat colok naga antara individu yang paling sibuk setiap kali menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina, mana tidaknya kerana ketika ini permintaan terhadap barangan sembahyang itu amat tinggi berbanding bulan biasa.

Ong Chin Chye, 64, yang mengusahakan kilang membuat colok naga secara tradisional di Kubang Semang, dekat sini berkata tahun ini beliau menerima tempahan sebanyak 10,000 batang colok naga pelbagai saiz, meningkat dua ke tiga kali ganda dengan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pemilik kedai gaharu, pihak tokong dan orang perseorangan.

Katanya kebanyakan tempahan diterima melalui panggilan telefon dan ada juga pelanggan yang datang sendiri ke kilang dan disebabkan tempahan luar biasa itu dia serta pekerjanya perlu bertungkus-lumus dan bekerja hingga ke tengah malam untuk menyiapkan semua tempahan mengikut jadual.

“Kebanyakan yang menempah ini merupakan pelanggan tetap. Selain Pulau Pinang saya turut menerima tempahan dari Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Thailand.

“Ada yang sudah menempah seawal Oktober tahun lepas dan saya juga menggalakkan tempahan dibuat awal kerana proses membuat colok ini memakan masa yang lama untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui Bernama di kilangnya, hari ini.

Bercerita lanjut mengenai proses menghasilkan colok itu, Ong berkata bahan asas yang digunakan hanyalah habuk gam kayu dan serbuk kayu putih yang dicampur dengan air dan kemudiannya dilekatkan pada batang kayu lapisan demi lapisan sehingga menjadi sebatang colok.

Katanya lapisan itu perlu betul-betul kering sebelum lapisan baru diletakkan dan proses itu saja boleh memakan masa antara tiga hari hingga sebulan sebelum rekaan ukiran naga dapat disiapkan dan dicat sebelum ditampal pada colok terbabit.

“Pembuatan colok ini memang amat rumit kerana semua proses dari awal hingga siap dibuat secara manual menggunakan tenaga manusia tetapi di sini semua 20 pekerja sudah terlatih dan cekap dengan tugas masing-masing, jadi tak ada masalah,” katanya.

Sementara itu menurut Ong, kilang tersebut asalnya dibina oleh datuknya Ong Ah Kaw lebih 60 tahun lalu sebelum dia mengambil alih perusahaan itu ketika berusia 22 tahun.

“Saya belajar membuat colok ini daripada nenek ketika berusia 14 tahun. Terdapat lebih 50 jenis rekaan colok yang dihasilkan di kilang ini yang bersaiz antara 1.2 meter hingga 4.8 meter tinggi dan dijual antara RM10 hingga ke RM800,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Ong berkata beliau masih mengekalkan pembuatan colok secara tradiosional menggunakan tangan berbanding mesin kerana kaedah itu lebih digemari pelanggan sekali gus membolehkan perniagaannya terus bertahan sehingga kini.

Malah, Ong turut memberitahu kilangnya juga sering menerima kunjungan pelajar sekolah yang membuat lawatan sambil belajar mengenai cara menghasilkan colok naga.

Dalam pada itu mengikut kalendar Lunar, tahun ini merupakan tahun naga dan Ong berharap diberikan kesihatan yang berpanjangan bagi meneruskan perniagaan terbabit.

Ini kerana, tiga anaknya tidak berminat untuk mewarisi seni pembuatan colok itu kerana masing-masing telah mempunyai kerjaya tetap namun, berharap suatu hari nanti ada yang akan mengambil alih legasi tersebut kerana tidak mahu tradisi ini hilang ditelan zaman.

– BERNAMA


Pengarang :