AGENDAJENAYAH

Lolos tahanan Imigresen, operasi kesan 123 pendatang asing diterus malam ini

TAPAH, 2 FEB: Operasi mengesan baki 123 tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini diteruskan malam ini.

Pasukan media mengikuti operasi di kawasan kebun kelapa sawit berdekatan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, satu daripada lokasi yang disyaki terdapat tahanan tersebut menyembunyikan diri.

Difahamkan terdapat 15 tahanan dikesan dalam kawasan kebun kelapa sawit tersebut.

Kira-kira 15 anggota pasukan mengesan yang terdiri daripada Jabatan Imigresen Malaysia dan Pasukan Gerakan Am (PGA) memasuki kawasan tersebut dengan dilengkapi peralatan pencahayaan.

Mereka dibahagi kepada dua kumpulan dan laluan agak mencabar dengan keadaan tanah yang becak dan licin serta gelap.

Seawal pasukan media sampai ke tempat operasi, terdapat dua tahanan telah berjaya ditahan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi berkata setakat ini tujuh tahanan telah berjaya dikesan.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 9.50 malam tadi seramai 131 tahanan terdiri daripada etnik Rohingya dan Myanmar lolos setelah merusuh dengan bertindak agresif merosakkan pagar depot tersebut.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 335 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan.

— BERNAMA


Pengarang :