AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan asas di 13 lokasi pada Sabtu, Ahad

SHAH ALAM, 2 FEB: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke lapan lokasi pada Sabtu dan Ahad.

Pada esok, jualan murah diadakan di Kampung Olak Lempik (Sungai Pelek), Masjid Al-Istiqamah Batu 13 (Seri Serdang), Selayang Baru (Sungai Tua) dan Jalan Ramal 2 Taman Ramal Indah Fasa 3 (Sungai Ramal)

Program diteruskan pada Ahad di Dewan Orang Ramai Tok Muda (Sementa), Dataran Niaga Serendah (Batang Kali), Kampung Dato Lee Kim Sai (Rawang) dan Kampung Sepakat (Bukit Melawati).

Selain lapan lokasi tersebut, PKPS turut bekerjsama dengan Segi Fresh untuk melaksanakan program JER di lima cawangan pasar raya pada Ahad iaitu di Jalan Kebun, Sungai Besar, Ken Rimba, Pandamaran dan Bandar Teknologi Kajang.

Pelaksanaan jualan murah di Segi Fresh adalah sebahagian memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKPS dan pasar raya itu pada Julai tahun lalu bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :