Pengunjung melihat pameran yang terdapat di pameran Beyond by Bold di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur pada 10 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pameran karya seni UiTM dedah pelajar kepada bidang ekonomi kreatif

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Hasil karya seni reka grafik dan media digital 115 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dipamerkan dalam program yang dinamakan ‘Beyond by Bold 2024’ di Fahrenheit 88, Bukit Bintang di sini, semalam.

Pensyarah Kanan Grafik & Media Digital UiTM Puncak Alam berkata pameran bertujuan mendedahkan pelajar membina kerjaya dalam ekonomi kreatif di samping menguasai kemajuan ekonomi digital terkini.

Nor Fadzilah Ibaruslan berkata peserta terdiri daripada pelajar jurusan Periklanan, Reka Bentuk Grafik, Illustrasi dan Multimedia.

EXCO Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana Najwan Halimi (tengah) bersama pelajar ketika majlis perasmian Pameran Beyond by Bold di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur pada 10 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selain mendedahkan kreativiti pelajar kepada komuniti, kita ingin mendedahkan pelajar untuk terlibat dalam sektor gig ekonomi dan membina perniagaan sendiri yang boleh menjana pendapatan.

“Melalui program ini pelajar akan berinteraksi dengan tokoh industri seni kreatif dan ahli akademia akan melihat hasil karya mereka melalui pameran ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis yang dirasmikan EXCO Usahawan Najwan Halimi.

Pensyarah Kanan Grafik & Media Digital Kolej Pengajian Seni Kreatif UITM Puncak Alam Nor Fadzillah Ibaruslan bercakap kepada media ketika majlis perasmian Pameran Beyond by Bold di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur pada 10 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Nor Fadzilah menjelaskan pameran yang julung kali diadakan selama lima hari bermula semalam hingga 14 Februari.

“Ia juga bertujuan meraikan kejayaan pelajar mempamerkan karya berkualiti itu melalui usaha gigih mereka selama enam semester pengajian.

“Kita juga ada membuat jemputan kepada pelajar-pelajar di institusi pengajian lain hadir ke pameran untuk memberi inspirasi buat mereka mengenai industri seni kreatif,” katanya.


Pengarang :