SABAK BERNAM, 24 FEB: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) melaksanakan program kebajikan merangkumi semua golongan termasuk kanak-kanak dan ibu tunggal.
Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata pada tahun lalu, pertubuhan itu memperuntukkan RM130,440 untuk program Kembali ke Sekolah yang memanfaatkan 860 pelajar.
“Selain itu, untuk sumbangan Tahun Baharu Cina, kita peruntuk RM188,700 kepada 1,020 ibu tunggal. Semua program kebajikan dan keagamaan akan diteruskan tahun ini.
“Menjelang Ramadan akan diadakan agihan bubur lambuk serta program Darul Ehsan Berselawat. Pekawanis sentiasa prihatin menganjurkan program kebajikan tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan fahaman politik,” katanya semalam.
Beliau berkata ketika sembah ucapan kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin sempena program Ziarah Kasih anjung utara Selangor selama dua hari bermula semalam.
Sementara itu, ibu tunggal Rosiah Mokhtar, 62, menyuarakan kegembiraan berikutan dapat bertemu dengan Tengku Permaisuri dan menerima bantuan wang tunai.
“Sebelum ini, saya tidak pernah menerima bantuan ibu tunggal kerana suami baru meninggal dunia akibat kanser hidung tahun lalu.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya. Saya juga amat gembira kerana yang sampaikan bantuan ini ialah Tengku Permaisuri,” katanya.
Nur Qaseh Qaleesya Mohd Shahazwan, 13, pula bersyukur menerima bantuan sekolah kerana dapat membantu ibu yang perlu menanggung empat lagi adik- beradik masih bersekolah.
“Ibu perlu menyara kami lima beradik untuk bersekolah dan hanya bekerja sebagai pembantu taska. Dapat bantuan ini saya seronok kerana dapat beg baru untuk ke sekolah bulan depan,” katanya.