Seorang murid sekolah menutup kepala dengan buku susulan cuaca panas ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Serada Kuala Terengganu, Terengganu pada 3 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sepang antara 14 kawasan diramal alami cuaca panas berjaga-jaga

SHAH ALAM, 28 FEB: Sepang antara 14 kawasan dalam Semenanjung Malaysia yang diramal mengalami cuaca panas tahap berjaga-jaga, lapor Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Dalam kenyataannya, MetMalaysia memaklumkan kawasan lain ialah Pulau Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang di Kedah serta Perlis.

Sementara itu, di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Timur Laut dan Barat Daya, manakala Kuala Kangsar di Perak serta Beaufort di Sabah.

“Satu lagi kawasan di Semenanjung berada pada tahap dua (gelombang haba) iaitu Pokok Sena, Kedah,” kata agensi itu di Facebook semalam.

Jabatan itu juga memaklumkan indikator bagi tahap berjaga-jaga apabila suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

“Tahap gelombang haba pula apabila suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” maklum MetMalaysia.


Pengarang :