AGENDANASIONAL

Akikah bertukar tragedi, bayi dua bulan maut dalam kemalangan

SHAH ALAM, 28 FEB: Seorang bayi berusia dua bulan terbunuh dalam nahas enam kenderaan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian menyayat hati itu berlaku ketika mangsa Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan dalam perjalanan bersama ibu bapanya dari Putrajaya ke Kluang untuk mengadakan majlis akikah.

Menurut laporan Berita Harian, bayi terbabit yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia sekitar jam 2.55 petang ketika dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Jasin berkata kemalangan membabitkan sebuah treler membawa kereta, lori, tiga kereta dan sebuah pacuan empat roda yang sedang dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

Menurut Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, treler itu dikatakan hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum merempuh Perodua Ativa dipandu bapa mangsa.

“Pelanggaran menyebabkan bayi yang duduk di kerusi kanak-kanak bahagian belakang parah di kepala dan badan, manakala ibu bapanya dan seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun tidak cedera.

“Treler itu turut merempuh empat lagi kenderaan iaitu sebuah lori, Ford Ranger, Perodua Myvi dan Mercedes Benz, namun semua empat pemandu dan tiga penumpangnya selamat,” katanya.

Jelasnya, sampel darah pemandu treler diambil untuk analisis kimia, namun, ujian air kencing belum dibuat berikutan dia terpaksa ditahan di hospital akibat tekanan darah rendah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Pengarang :