Pemain Korea Selatan meraikan kemenangan selepas menundukkan Australia 2-1 pada aksi suku akhir Piala Asia di Stadium Al Janoub, Qatar pada 2 Februari 2024. Foto Facebook AFC Asian Cup
AGENDASUKANKINI

Son hadiahkan gol kemenangan, bawa Korea Selatan ke separuh akhir

AL WAKRAH (QATAR), 3 FEB: Bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min menghadiahkan gol kemenangan pada masa tambahan bagi memastikan Korea Selatan melangkah ke separuh akhir Piala Asia 2023 selepas mengecewakan Australia 2-1 pada aksi suku akhir di sini, malam tadi (awal pagi waktu Malaysia).

Korea Selatan, dalam misi menamatkan penantian 64 tahun untuk bergelar juara kali ketiga selepas 1956 dan 1960, bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat 1-1 dan memaksa perlawanan diheret hingga masa tambahan 30 minit.

Son, penyerang sensasi kelab Inggeris itu, menemukan sentuhan pemusnah pada minit ke-104.

Namun, kemenangan di Stadium Al Janoub itu cukup manis buat Korea Selatan, menyaksikan Taegeuk Warriors berjaya membalas kekecewaan tewas 1-2 di tangan Australia pada final edisi 2015 yang menjadi pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada pentas Piala Asia.

Son mempamerkan kelasnya apabila meledak gol kemenangan melalui sepakan percuma di penghujung separuh masa pertama masa tambahan selepas menghadiahkan penalti untuk Korea Selatan menyamakan kedudukan di lewat masa permainan sebenar.

Australia bimbingan Graham Arnold membuka tirai jaringan menerusi Craig Goodwin di lewat babak pertama sebelum anak buah Jurgen Klinsmann menyamakan kedudukan menerusi penalti penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan pada minit 90+6.

Korea Selatan akan membuat perhitungan menentang Jordan pada aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Ahmad Bin Ali di Al Rayyan, Selasa depan.

Korea Selatan turun pada perlawanan malam ini sebagai pasukan pilihan mendominasi penguasaan bola di awal separuh masa pertama, namun Socceroos terlebih dahulu tampil dengan percubaan berbahaya memasuki minit ke-20 menerusi rembatan Goodwin dari jarak dekat.

Hwang kempunan memecah kebuntuan gol apabila jaringannya selepas menerima hantaran Seol Young-woo pada minit ke-31 dibatalkan kerana Seol terlebih dahulu ofsaid ketika menerima hantaran jauh di dalam kotak penalti.

Australia melenyapkan sorakan penyokong Korea Selatan seketika apabila Goodwin menyumbat gol pembukaan perlawanan pada minit ke-42 dengan melepaskan rembatan voli dari jarak dekat selepas menerima hantaran lambung dari sebelah kanan daripada Nathaniel Atkinson.

Di penghujung permainan, pengadil memberikan penalti kepada Korea Selatan selepas Son dijatuhkan pemain gantian Lewis Miller, sebelum kekecewaan Hwang terbalas apabila beliau tenang menyempurnakan sepakan pada minit keenam tambahan masa untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pada masa tambahan 30 minit, Son menjaringkan gol kemenangan pasukan melalui sepakan percuma cantik yang gagal diselamatkan Mathew Ryan pada minit ke-104 sekali gus meledak gol ketiganya pada kempen kali ini.

Australia kemudian terpaksa mengharungi baki 15 minit permainan dengan 10 pemain selepas pemain gantian Aiden O’Neill dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas Hwang di penghujung separuh masa pertama masa tambahan.

Malam tadi, dua lagi aksi suku akhir akan berlangsung membabitkan juara bertahan, Qatar berdepan Uzbekistan manakala pasukan pilihan, Jepun menentang Iran.

– BERNAMA

 


Pengarang :