Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Terengganu, Datin Norhana Ng Abdullah (dua, kiri) bersama anak-anak dan menantu meraikan tradisi makan besar sempena Tahun Baru Cina bersama adik beradiknya yang berada di luar Terengganu menerusi panggilan video ketika ditemui di Kampung Pengkalan Maras semalam. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wanita gembira sambut pelbagai perayaan, tetap jaga batas sebagai muslim

KUALA TERENGGANU, 10 FEB: Keharmonian keluarga besar Datin Norhana Abdullah @ Ng Siew Boey, 65, yang menyambut pelbagai perayaan setiap tahun mungkin sesuai menjadi bukti kepelbagaian agama di Malaysia bukanlah penghalang untuk mencipta kebahagiaan bersama.

Memeluk Islam pada 1984 dan perkahwinannya dengan Datuk Mohd Anuar Embong pada tahun yang sama telah membuka pintu baharu untuk keluarga Cinanya menyambut perayaan yang biasa disambut kaum Melayu seperti Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata dua adiknya merupakan penganut Kristian, sekali gus memberi peluang kepada mereka sekeluarga meraikan Krismas pada 25 Dis setiap tahun.

Bagaimanapun, Norhana yang juga Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Terengganu berkata beliau akan memastikan setiap yang dilakukannya itu tidak melanggar syarak dan batas sebagai seorang Muslim.

“Seperti sebelum-sebelum ini pun, sambutan Tahun Baharu Cina tetap meriah dalam keluarga kami… walaupun selepas kematian suami saya pada 2004, keluarga tidak pernah menyisihkan saya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Norhana berkata beliau bersyukur akan sensitiviti ahli keluarganya yang memahami keperluan beliau dan empat anaknya dalam mematuhi syariat Islam pada setiap perayaan yang disambut mereka.

“Misalnya untuk makan besar malam ini, adik-adik saya masak makanan tradisional Cina bagi menghidupkan lagi perayaan ini, tetapi alhamdulillah kesemua menu hidangan adalah halal termasuk peralatan yang digunakan untuk memasak.

“Itulah praktis mereka sejak dahulu lagi selepas saya memeluk Islam,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :