ADN Sentosa Dr G Gunaraj (tengah) bersama sukarelawan dan petugas Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia ketika program Vaksinasi Pencegahan Kanser sempena Hari Wanita di Soka Gakkai, Klang pada 10 Mac 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

300 remaja perempuan DUN Sentosa terima vaksin cegah barah serviks

KLANG, 10 MAC: Seramai 300 remaja perempuan berusia 13 hingga 20 tahun sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa diberi suntikan papilomavirus manusia (HPV) secara percuma sempena Hari Wanita.

Wakil rakyatnya berkata program dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia sebagai langkah pencegahan awal barah serviks dalam kalangan wanita muda.

Dr G Gunaraj menjelaskan ramai dalam kalangan golongan terbabit tercicir daripada mendapatkan pelalian itu berikutan penutupan sekolah ketika negara dilanda Covid-19.

“Hari ini kita ambil inisiatif untuk beri suntikan HPV kepada peserta yang telah berdaftar secara percuma mengambil kira kos pelalian di klinik dan hospital swasta mencecah RM350.

“Penganjuran program ini demi memastikan wanita muda selamat daripada barah serviks. Mereka tidak perlu bimbang kerana tiada kesan sampingan daripada suntikan ini,” katanya ditemui di Soka Gakkai di sini.

Beliau juga akan mencadangkan kepada Kerajaan Selangor supaya memasukkan suntikan HPV dalam program Selangor Saring bagi memastikan lebih ramai wanita menikmati manfaat tersebut.

“Suntikan HPV satu-satunya vaksin mencegah barah serviks. Jadi ini adalah peluang keemasan untuk wanita mendapatkannya, apatah lagi barah serviks menjadi bualan ramai sejak kebelakangan ini.

“Saya akan bawa usul (memasukkan program suntikan HPV dalam Selangor Saring) kepada EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin agar ianya boleh dijalankan serentak,” katanya.

Sementara itu, peserta G Vashnieta, 13, dari Sekolah Kebangsaan Sri Acmar mengakui lega selepas menerima suntikan tersebut meski takut pada awalnya.

“Ibu dan bapa beri sokongan moral dan menggalakkan saya untuk mendapatkan suntikan HPV. Saya rasa ada bagusnya suntikan ini kerana saya tidak mahu diserang barah serviks,” katanya.

 

 


Pengarang :