Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi (tengah) bergambar bersama wakil dari surau dan masjid pada Majlis Hi-Tea perdana dan penyerahan sumbangan Ihya’ Ramadan DUN Kota Anggerik di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Ramadan: DUN Kota Anggerik peruntuk RM150,000 imarah masjid, surau

SHAH ALAM, 10 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik memperuntukkan sumbangan sejumlah RM150,000 kepada 75 masjid dan surau di kawasan berkenaan.

Wakil rakyatnya Najwan Halimi berkata setiap masjid dan surau menerima RM2,000 bagi memudahkan pihak pengurusan rumah ibadat itu menjayakan pelbagai program sepanjang Ramadan.

“Di Shah Alam khususnya di DUN Kota Anggerik mencatatkan jumlah masjid dan surau yang tertinggi dan perkara ini disahkan menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Justeru, kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak pengurusan mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya’ Ramadan kepada masjid dan surau di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu, Najwan turut mengalu-alukan pengurusan masjid dan surau berhubung secara terus ke pejabatnya sekiranya ada isu atau aduan yang hendak disalurkan.

“Selaras dengan manifesto saya pada pilihan raya lepas mahu membantu, mengemudi dan menyelaraskan sebarang bentuk isu dan keperluan masjid dan surau di kawasan ini.

“Saya mengalu-alukan pihak pengurusan untuk berhubung terus ke pejabat saya sekiranya ada masalah berkaitan pengurusan, pentadbiran atau keperluan infrastruktur yang perlu ditambah baik,” katanya.


Pengarang :