EXCO Keusahawanan Najwan Halimi (kanan) dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua dari kanan) menunjukkan Kupon Digital Rahmah bernilai RM10 di bazar Ramadan Hijrah Alam Impian, Shah Alam pada 21 Mac 2024. Foto Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

500 kupon digital diedar kepada pengunjung bazar sempena Kempen PLATS Masuk Bazar

SHAH ALAM, 21 MAC: Sebanyak 500 Kupon Digital Rahmah bernilai RM10 diedar kepada orang ramai di bazar Hijrah, Alam Impian di sini, hari ini.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata edaran kupon itu sempena kempen Platform Selangor (PLATS) Masuk Bazar di lapan lokasi bazar terpilih sepanjang Ramadan ini.

“Ia sebahagian daripada inisiatif PLATS untuk menggalakkan peniaga menggunakan kaedah pembayaran dalam talian ke arah usaha pendigitalan perniagaan mereka.

“Pada masa sama inisiatif ini bukan saja memberi nilai tambah kepada peniaga tetapi juga pengunjung yang mendapat tambahan RM10 untuk perbelanjaan mereka di bazar hari ini,” katanya ditemui selepas beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar berkenaan.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi menyerahkan cenderahati dan beramah mesra bersama peniaga bazar Ramadan Hijrah Alam Impian, Shah Alam pada 21 Mac 2024. Foto Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI

Najwan berkata pendigitalan dalam perniagaan penting bagi memastikan peniaga dapat mendepani arus perubahan teknologi yang pesat sekali gus mengembangkan potensi perniagaan mereka dengan lebih meluas.

Sebelum ini Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan pihaknya memperuntuk RM40,000 bagi menjayakan kempen PLATS Masuk Bazar sepanjang Ramadan.

Menerusi kerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Kajang, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata kupon Digital Rahmah bernilai RM10 diedar kepada orang ramai di lapan lokasi bazar terpilih.

PLATS diperkenal pada Ramadan 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Pendigitalan Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Ia merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu golongan perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS) untuk mengadaptasi pendigitalan dalam perniagaan.

PLATS juga memperkenalkan inisiatif baharu iaitu program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi (kanan) dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua dari kanan) mengimbas Kupon Digital Rahmah bernilai RM10 di bazar Ramadan Hijrah Alam Impian, Shah Alam pada 21 Mac 2024. Foto Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI

Pengarang :