SHAH ALAM, 23 MAC: Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji yang diterima penjawat awam negeri ini meringankan beban membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan alatan sekolah anak.
Nurulain Ja’far Sidik, 52, yang berkhidmat lebih 20 tahun berkata beliau bersyukur kerana pentadbiran negeri ini sentiasa mementingkan kebajikan terutama ketika musim perayaan.

“Alhamdulillah sepanjang saya berkhidmat di Selangor, bantuan diberi pada setiap tahun memang tidak pernah mengecewakan.
“Terima kasih Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan penjawat awam. Insya-Allah, bantuan ini sedikit sebanyak boleh beli baju raya tiga anak saya,” kata kakitangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).
Beliau ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar bersama Ketua-ketua Jabatan dan Penjawat Awam Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini semalam.
Kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Langat Shahrulnizam Khalil, 48, pula berkata selain membuat persiapan raya, bantuan khas itu juga digunakan untuk membeli peralatan sekolah lima anaknya.

“Alhamdulillah, bonus kali ini sangat tepat pada masanya. Sebagai bapa kepada lima anak, BKK ini amat bermakna.
“Malah pemberian BKK juga mendorong penjawat awam untuk bekerja dengan lebih semangat dan produktiviti,,” ujarnya yang sudah 22 tahun berkhidmat di Selangor.
Sempena Majlis Mahabbah Ramadan Madani pagi tadi, Amirudin mengumumkan BKK sebulan gaji atau minimum RM1,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri 2024 melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM45 juta akan disalur pada 8 April.